Skip to main content

Dunia

Pemeriksaan haid langgar hak kanak-kanak, kata suruhanjaya hak kemanusiaan M'sia

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyifatkan “pemeriksaan datang bulan” sebagai pelanggaran terhadap hak kanak-kanak dan menyalahi undang-undang kerana wujud unsur gangguan dan penderaan seksual.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemeriksaan haid langgar hak kanak-kanak, kata suruhanjaya hak kemanusiaan M'sia

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Apr 2021 09:12AM Dikemas Kini : 24 Apr 2021 09:22AM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyifatkan “pemeriksaan datang bulan” sebagai pelanggaran terhadap hak kanak-kanak dan menyalahi undang-undang kerana wujud unsur gangguan dan penderaan seksual.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suhakam Profesor Noor Aziah Mohd Awal berkata selaras dengan Perkara 28 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada 1995, negara wajib untuk memastikan sekolah melaksanakan disiplin selaras dengan hak dan kemuliaan kanak-kanak.

"Di bawah Konvensyen yang sama, Perkara 16, 19 dan 36 masing-masing menyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai hak untuk privasi, perlindungan daripada penyalahgunaan, keganasan dan pengabaian dan perlindungan dari segala bentuk eksploitasi lain yang merangkumi eksploitasi seksual dan gangguan seksual," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat malam (23 Apr).

Sebelum ini tular di laman Twitter beberapa pelajar mendedahkan amalan “pemeriksaan datang bulan” terhadap pelajar perempuan semasa bulan Ramadan di sekolah, dan mereka mendakwa turut diminta membuka pakaian dalam bagi membuktikan mereka sedang dalam haid dan tidak boleh berpuasa.

Sementara itu, Prof Noor Aziah turut mengingatkan Kementerian Pendidikan (KPM) tentang tanggungjawabnya untuk melindungi semua kanak-kanak atau pelajar daripada segala bentuk gangguan dan eksploitasi seksual, sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 34.

Justeru, beliau meminta KPM untuk mengambil tindakan tegas terhadap guru dan pihak sekolah yang telah melanggar hak dan maruah kanak-kanak sebelum ini.

Menurutnya, garis panduan mendisiplinkan pelajar yang lebih jelas mesti diperkenalkan untuk memastikan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan guru tidak berulang.

"Amat penting bagi Malaysia untuk mewujudkan dan memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk generasi masa hadapan kita," katanya.

Beliau juga menyeru semua kementerian dan pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan guru untuk bersama-sama memastikan sekolah dan sekolah berasrama penuh menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak pada setiap masa. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita