Pemenang Hadiah Nobel Keamanan warga Rusia & Ukraine kutuk 'perang gila' Presiden Putin

Tiga penerima Hadiah Keamanan Nobel 2022: Natalia Pinchuk (kiri) menerima anugerah Nobel bagi pihak suaminya, aktivis Belarus Ales Bialiatski yang dipenjara, Pengerusi Memorial Yan Rachinsky (tengah), dan Ketua Pusat Kebebasan Awam Ukraine Oleksandra Matviichuk (kanan) semasa upcara penyampaian anugerah di Dewan Bandar Oslo, Norway, pada 10 Dis 2022. (Gambar: Sergei Gapon/AFP)
Natalia Pinchuk, isteri aktivis Belarus, Ales Bialiatski, menerima anugerah tersebut bagi pihak suaminya yang sedang meringkuk di penjara.Beliau menuduh Rusia ingin menjadikan Ukraine sebagai negara diperintah oleh diktator, seperti Belarus.
Sementara itu, aktivis Rusia Yan Rachinsky mengecam perang yang dilancarkan Presiden Vladimir Putin sebagai perbuatan jenayah yang tidak masuk akal. Encik Rachinsky ialah pengerusi pertubuhan hak asasi manusia Memorial, yang merakam pencabulan hak asasi di Rusia selama puluhan tahun.
Peguam hak asasi Ukraine Olek-sandra Matviichuk berkata, negaranya tidak akan dapat mengecap keamanan dengan melucutkan senjata dalam perang terhadap Rusia. Cik Matviichuk memimpin sebuah pertubuhan hak asasi yang merakam jenayah perang didakwa dilakukan oleh askar-askar Rusia di Ukraine.
Satu lagi upacara diadakan secara berasingan di Stockholm, Sweden untuk memberi penghargaan kepada pemenang Hadiah Nobel dalam bidang-bidang perubatan, fizik, kimia, kesusasteraan dan ekonomi.
Antara pemenang tahun ini ialah Annie Ernaux dari Perancis, yang memenangi hadiah kesusasteraan, mantan ketua bank pusat Amerika Syarikat Ben Bernanke yang menerima hadiah ekonomi dan Barry Sharpless dari Amerika Syarikat, yang membawa pulang hadiah kimia buat kali kedua.
Juga hadir semasa acara itu ialah barisan pemenang tahun 2020 dan 2021, apabila sambutan di Stockholm dibatalkan akibat pandemik COVID-19.
Majlis jamuan makan malam besar-besaran diadakan bagi sekitar 1,500 tetamu, termasuk keluarga diraja Norway.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.