Skip to main content

Dunia

Pembunuhan Khashoggi:Tidak cukup bukti, AS belum boleh bertindak ke atas Saudi

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo berkata pada Khamis (1 Nov) bahawa pihaknya memerlukan masa "beberapa minggu lagi" sebelum mempunyai cukup bukti untuk mengambil tindakan sebagai reaksi kepada pembunuhan wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi di konsulat Saudi di Istanbul.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembunuhan Khashoggi:Tidak cukup bukti, AS belum boleh bertindak ke atas Saudi

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 02 Nov 2018 11:31AM Dikemas Kini : 02 Nov 2018 02:23PM

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo berkata pada Khamis (1 Nov) bahawa pihaknya memerlukan masa "beberapa minggu lagi" sebelum mempunyai cukup bukti untuk mengambil tindakan hukuman terhadap pembunuhan wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi di konsulat Saudi di Istanbul.

Dalam satu wawancara dengan stesen radio KMOX di St Louis, Encik Pompeo berkata Presiden Donald Trump sudah menjelaskan bahawa Washington akan bertindak balas terhadap pembunuhan tersebut. Beliau berkata pentadbiran negaranya "sedang menimbangkan tindakan mengenakan sekatan ke atas individu-individu yang sejauh ini di kenal pasti terbabit dalam pembunuhan itu."

"Kami mungkin memerlukan beberapa minggu lagi sebelum mempunyai cukup bukti untuk  melaksanakan sekatan, tetapi saya kami akan dapat melakukannya," kata Encik Pompeo.

Sambil menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak melindungi pembunuhan Khashoggi, diplomat tinggi Amerika Syarikat itu berkata Washington mempunyai "hubungan strategik jangka panjang dan mendalam" dengan Arab Saudi dan "kami berhasrat untuk memastikan bahawa hubungan itu tetap utuh."

Mantan Menteri Perisikan Arab Saudi Putera Turki bin Faisal al Saud, pada Rabu mengatakan bahawa kemarahan di Amerika Syarikat yang mengutuk Arab Saudi berhubung pembunuhan Khashoggi mengancam menggangu hubungan strategik kedua-dua negara.

"Kami menghargai hubungan strategik kami dengan Amerika Syarikat dan berharap untuk mengekalkannya. Kami berharap Amerika Syarikat membalas dengan baik," kata Putera Turki, seorang anggota keluarga diraja, dalam ucapannya di Majlis Nasional Hubungan AS-Arab, sebuah organisasi advokasi tanpa keuntungan.

Khashoggi, yang tinggal di Amerika Syarikat dan menulis rencana untuk Washington Post, pergi ke konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober untuk mengambil beberapa dokumen, tetapi beliau tidak muncul kembali.

Riyadh pada awalnya menafikan sebarang pelibatan dalam insiden membabitkan Khashoggi, tetapi setelah ditekan pemerintah Turki akhirnya mengenalpasti 18 suspek dalam kes tersebut.

Turki juga memberi tekanan kepada Saudi tentang keberadaan jasad Khashoggi, yang sehingga kini belum ditemui. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita