Pembunuhan Khamenei cubaan 'tamatkan sebuah era' di Iran: Penganalisis
SINGAPURA: Pembunuhan pemimpin ulung Iran Ayatollah Ali Khamenei merupakan percubaan oleh Amerika Syarikat dan Israel untuk menyebabkan rejim Iran “runtuh”, kata seorang penganalisis pada Sabtu (28 Feb).
Media negara Iran mengesahkan pada Ahad (1 Mac) bahawa Ayatollah Ali Khamenei sudah terkorban.
Ia turut melaporkan bahawa anak perempuan, cucu, menantu perempuan dan menantu lelaki beliau turut maut dalam serangan tersebut.
Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan paling hebat terhadap Iran dalam beberapa dekad pada Sabtu (28 Feb), dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Israel menyatakan bahawa Ayatollah Ali Khamenei sudah terbunuh dalam operasi itu.
Israel, khususnya, meletakkan kepentingan besar terhadap pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei, kata Trita Parsi dari Institut Quincy di Washington.
Israel yakin ia akan “menamatkan era selama 47 tahun di mana Republik Islam ini sudah berkuasa” di Iran, katanya.
“Walaupun republik atau teokrasi itu bertahan, simbolisme Khamenei dibunuh adalah sesuatu yang dianggap Israel sebagai sangat, sangat penting.”
APA YANG AMERIKA MAHU?
Encik Trump, dalam catatannya di media sosial pada Sabtu (28 Feb), menyifatkan pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei sebagai “peluang terbesar untuk rakyat Iran mengambil semula negaranya”.
“Saya fikir harapan di pihak Amerika dan Israel ialah pembunuhan pemimpin ulung itu, kesan terhadap aspek ketenteraan, pada asasnya akan membawa rejim secara keseluruhannya lebih dekat kepada kejatuhan dan kemudian keruntuhan rejim, dan itu akan mencetuskan implikasi terhadap prestasi ketenteraan,” kata Encik Parsi.
"Ia bukannya tentang pemimpin ulung itu sendiri yang merupakan pembuat keputusan muktamad dalam keputusan taktikal dan strategik pada ketika ini, tetapi sebaliknya ia akan menjadi langkah penting ke arah meruntuhkan rejim,” tambahnya.
Encik Parsi menambah: “Saya fikir harapan di pihak Amerika Syarikat ialah sama ada rakyat akan bangkit dan melihat ini sebagai peluang untuk menyingkirkan teokrasi sepenuhnya. Atau ia akan membawa kepada senario di mana elemen-elemen baharu akan mengambil alih sistem yang sama.”
“Tetapi mereka akan lebih cenderung kepada Amerika berbanding sistem di bawah pemimpin ulung sebelum ini,” katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak melihat senario itu sebagai “sangat mungkin berlaku”.
“Sebabnya ialah terdapat perjanjian yang sangat jelas dan sangat menarik di atas meja untuk Encik Trump, di mana beliau mencapai jauh lebih banyak daripada apa yang Iran sanggup tawarkan kepada Obama. Beliau boleh mengisytiharkan kemenangan dengan mudah,” kata Encik Parsi.
“Sebaliknya, beliau memilih perang kerana nampaknya harapan beliau ialah untuk benar-benar membawa kepada perubahan rejim, penyerahan diri dan penghinaan."
Pensyarah kanan di Universiti Sydney, Eyal Mayroz, memberitahu Mediacorp bahawa persoalan perubahan rejim masih tergantung.
“Saya berasa ragu-ragu tentang kemungkinan melakukan perubahan rejim dari udara; Israel mahupun Amerika tidak akan menghantar tentera darat, dan banyak yang bergantung kepada keadaan dalam Iran, bukan rakyat Iran semata-mata tetapi mungkin beberapa elemen dalam Pengawal Revolusi, yang mungkin mahu melakukan perubahan,” katanya.
“Ini sekali lagi satu tugas yang amat hebat dan tidak jelas,” katanya.
APA YANG BOLEH BERLAKU SETERUSNYA?
Encik Trita Parsi berkata jika Ayatollah Ali Khamenei benar-benar sudah terbunuh, ia boleh mencetuskan tindak balas daripada negara jiran yang mempunyai penduduk Islam Shia, seperti Iraq, UAE, Bahrain, Arab Saudi dan Pakistan.
Khamenei bukan sekadar ketua negara de facto; beliau juga seorang tokoh agama yang mempunyai kepentingan tertentu dalam dunia Islam Shia, katanya, sambil menyatakan bahawa pemimpin ulung itu mempunyai pengikut di Lubnan, Iraq, Bahrain, Arab Saudi, UAE, Pakistan dan banyak negara lain.
“Dan mungkin terdapat risiko peningkatan ketegangan besar di kawasan tersebut disebabkan perkara ini,” tambahnya.
“Saya fikir senario paling mungkin berlaku di sini, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek, ialah anda akan melihat Iran bertindak balas dengan melanggar satu lagi garis merah yang mereka tetapkan sendiri.”
Encik Parsi menarik perhatian bahawa dalam tempoh 24 jam pertama, Iran menyerang pangkalan Amerika Syarikat di semua negara Teluk kecuali Oman - sesuatu yang tidak pernah lakukannya sebelum ini.
Beliau menjangkakan lebih banyak serangan daripada pihak Iran, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.
Encik Mayroz menyifatkan serangan balas itu sebagai “sudah dirancang lebih awal”.
Iran menyifatkan serangan ke atasnya sebagai tidak diprovokasi dan haram serta bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu ke arah Israel dan sekurang-kurangnya tujuh negara lain, termasuk negara Teluk yang menempatkan pangkalan Amerika Syarikat.
SIAPA BOLEH GANTIKAN KHAMENEI?
Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum ini menilai bahawa Ayatollah Ali Khamenei boleh digantikan oleh tokoh tegar daripada Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), menurut dua sumber yang dimaklumkan tentang risikan tersebut.
“Saya rasa kita perlu berterus-terang bahawa Iran menyimpan perkara ini dengan sangat rapi dan akibatnya kita tidak tahu,” kata Encik Parsi.
Nama-nama yang didedahkan di luar sana mungkin bukan nama yang sudah diputuskan, tambahnya.
“Saya fikir ini sudah diputuskan beberapa bulan lalu akibat perang Jun,” kata Encik Parsi.
“Dan juga, tidak jelas sama ada seorang individu tunggal akan menggantikan atau sama ada ia akan digantikan oleh sebuah majlis mengikut perlembagaan Iran,” katanya.
Encik Trump, yang membuat pertaruhan dasar luar terbesar dalam kepresidenannya selepas berkempen untuk pemilihan semula sebagai “presiden keamanan”, berkata serangan terhadap Iran bertujuan menamatkan ancaman berdekad-dekad dari Iran dan memastikan negara itu tidak dapat membangunkan senjata nuklear.
Namun hakikat bahawa rundingan dengan Amerika Syarikat sedang berlangsung dan Iran dilihat sudah membuat konsesi besar terhadap program nuklearnya, kata Encik Parsi, boleh bermakna bahawa sesiapa yang akhirnya memimpin Iran akan kurang bersedia untuk berkompromi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.