Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pembukaan sempadan M'sia satukan keluarga, rancakkan industri pelancongan

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Tepat 12.00 tengah malam tadi (1 April), Malaysia membuka semula sempadan antarabangsanya kepada pengembara luar, untuk kembali meletakkan negara pada posisi terbaik pemulihan ekonomi, khususnya sektor pelancongan.

Pembukaan itu selaras Fasa Peralihan Ke Endemik yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob awal bulan lepas, melibatkan pintu masuk udara, darat dan laut, yang turut membantu penyatuan keluarga yang terpisah antara negara.

Pintu sempadan Johor-Singapura antara yang paling meriah tengah malam tadi (1 April), menyaksikan kepulangan rakyat negara Malaysia terutamanya mereka yang mencari rezeki di negara seberang tambak itu, disambut tangisan kesyukuran, nyanyian Negaraku dan sorakan kegembiraan.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan khususnya pintu keluar masuk hari ini seperti di Johor Bahru Sentral juga mendapati, jumlah kenderaan semakin meningkat selain Larkin Sentral yang 'meriah' dengan kedatangan pengunjung dari Singapura, yang mahu mendapatkan tiket ke destinasi masing-masing.

Sebaliknya di Kelantan, tiga pintu sempadan iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Tanah Merah; ICQS Rantau Panjang, Pasir Mas dan ICQS Pengkalan Kubor, masih belum dibuka untuk pergerakan pengembara antara Malaysia dan Thailand.

Seorang peniaga pakaian di zon bebas cukai Pekan Rantau Panjang, Norizan Ishak, 55 tahun, berharap pintu sempadan dapat dibuka lebih awal sebelum 1 Mei depan, untuk kembali merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan itu kerana setakat ini hanya kenderaan perdagangan dibenarkan menggunakan laluan tersebut.

Dalam pada itu, masih ramai pengembara di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian terkandas, dan tidak dapat memasuki negara ini disebabkan kekeliruan berhubung prosedur operasi standard (SOP).

Tinjauan mendapati ada pengembara yang tidak melakukan ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) di Thailand, selain gagal mendaftar butiran peribadi menerusi aplikasi MySejahtera seperti yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

Pengarah Jabatan Imigresen Perlis Khairul Amin Talib berkata sehingga pukul 12.00 tengah hari tadi, tiada pergerakan masuk pengembara dari Thailand direkodkan, menerusi pintu masuk Wang Kelian.

Keadaan di ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah, pula lengang dan tidak banyak kenderaan keluar masuk walaupun ia dibuka seawal pukul 6.00 pagi, manakala hanya beberapa individu dilihat berjalan kaki memasuki pintu sempadan, rata-rata untuk mengunjungi keluarga mereka.

Jururawat Noorasyikin Bunnawi, 31 tahun, antara yang ditemui di pintu sempadan itu, gembira kerana dapat bertemu semula dengan ibunya Siti Zubaidah Abdullah, 62 tahun, seorang warga Thailand, yang memerlukan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kedah (Kawalan) Rosmaliza Mohamed Rashid berkata setakat pukul 10.00 pagi tadi, hanya 10 permohonan masuk dari Thailand dan 20 permohonan keluar dari Malaysia diterima pihaknya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula menjadi yang terawal menerima kemasukan pelancong antarabangsa melalui pengangkutan udara, apabila pesawat Saudi Airlines yang turut membawa bersama jemaah umrah tempatan itu tiba kira-kira pukul 1.00 pagi tadi.

Sementara itu, Bolo Susanto dan Yandi Ongkojo yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dari Surabaya, Indonesia menyifatkan pembukaan semula itu tepat pada masa, khususnya untuk Bolo mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Melaka.

“Boleh dikatakan penerbangan kali ini paling mudah urusannya, dengan bapa yang berkerusi roda, kami telah dibantu sebaiknya. Jangan lupa MySejahtera,” pesan Yandi yang sering ke Malaysia untuk pelancongan kesihatan.

Dalam pada itu, pesawat TR498 Scoot Tiger Air membawa 172 penumpang dari Singapura, merupakan penerbangan antarabangsa pertama tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hari ini, daripada keseluruhan sembilan penerbangan dijadualkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin dalam sidang media memaklumkan, hari ini LTAPP menerima lapan penerbangan dari Singapura serta satu dari Ho Chi Minh, Vietnam yang membawa keseluruhan kira-kira 1,000 penumpang.

Pengurus besar sebuah syarikat permotoran, Goh Wei Sing, 47, antara yang berada di LTAPP pagi ini, tidak sabar menunggu ketibaan anak dan isterinya yang terpisah selama dua tahun.

“Saya bekerja di Jepun selama 20 tahun dan berkahwin dengan isteri, seorang warga Jepun. Sebelum COVID-19, saya pulang ke Pulau Pinang untuk bekerja di sini dan kalau ikut perancangan mereka sepatutnya ikut sekali, namun disebabkan pandemik mereka terus di sana sepanjang tempoh itu,” katanya.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor, penerbangan antarabangsa pertama AK1491 dari Ho Chi Minh, Vietnam yang tiba pada pukul 12.20 tengah hari, membawa kira-kira 90 penumpang disambut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Dr R. Santhara Kumar.

Sementara itu, tinjauan di Terminal Feri Antarabangsa Melaka mendapati ia belum beroperasi, walaupun ramai mengunjungi lokasi itu dengan harapan untuk ke Dumai, Indonesia kerana difahamkan pintu sempadan Dumai-Melaka masih belum dibuka setakat ini.

Seorang pengunjung, Rozana Ishak, 45 tahun, mengakui tidak sabar untuk melawat keluarga di Indonesia seperti yang sering dilakukan sebelum pandemik, terutamanya menjelang Ramadan.

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan