Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pembuat terompah menaruh harapan warisan budaya diiktiraf UNESCO

Pembuat terompah dari Pulau Pinang, Angeli Choo, berharap hasil tangannya itu akan mendapat pengiktirafan rasmi sebagai warisan budaya sejak berzaman oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan, dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Anggaran Waktu Membaca:
Pembuat terompah menaruh harapan warisan budaya diiktiraf UNESCO

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Jul 2020 07:48PM Dikemas Kini : 22 Jul 2020 07:49PM

GEORGE TOWN: Pembuat terompah dari Pulau Pinang, Angeli Choo, berharap hasil tangannya itu akan mendapat pengiktirafan rasmi sebagai warisan budaya sejak berzaman oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan, dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Cik Choo, 52 tahun, berkata terompah kayu - atau “Kah Kiak” dalam slanga Hokkien - sudah sekian lama menjadi warisan Pulau Pinang. Perniagaan terompahnya itu bukan sahaja bagi tujuan memenuhi permintaan tempatan tetapi juga untuk tuntutan sektor pelancongan.

Beliau berharap hobinya itu akan dapat menghidupkan kembali penggunaan salah satu daripada barangan rumah tradisional yang biasa digunakan di sini pada tahun-tahun 1970-an.

"Jarang-jarang sekali kita lihat generasi muda memakainya sekarang jadi kadang-kala memang ada ‘orang tua’ yang datang ke kedai ini membawa anak cucu untuk ditunjukkan kepada mereka barang-barang ini, mendidik dan menceritakan tentang adat resam serta budaya kita,” ujar beliau ketika ditemui di kedainya di Jalan Rangoon, Georga Town, Pulau Pinang.

DARI SEKADAR SUKA-SUKA BERKEMBANG MENJADI PERNIAGAAN

Cik Choo berkongsi perniagaan membuat dan menjual terompah itu bermula sebagai hobi semata-mata. Beliau menggalakkan anak-anaknya untuk turut serta bersamanya membuat terompah semasa cuti sekolah mereka.

"Tidak lama kemudiannya hobi saya ini menarik perhatian ramai dan mereka bertanya sekiranya saya menjualnya (terompah) …kemudian barulah suami saya beri cadangan untuk memulakan satu perniagaan menerusi hobi ini,” cerita beliau.

Cik Choo berkata beliau bersama suaminya, Teh Guan Heng, 52 tahun, memulakan perniagaan menjual terompah kayu pada tahun 2014 di bawah jenama 'Patricia Choo Collection' sempena memperingati ibunya.

Mereka biasanya membuat sendiri antara 10 hingga 15 terompah kayu dalam sehari bagi keseluruhan proses pembuatan, bermula dari memotong kayu sehingga mengecat.

"Disebabkan permintaan tinggi, kini kami mempunyai sebuah kilang yang bertanggungjawab untuk kerja-kerja memotong dan melicinkan kayu namun proses lain seperti memaku dan mewarna masih dibuat secara manual di kedai ini,” katanya.

Sementara itu, Cik Choo berkata kelompok pelanggan yang menjadi sasaran beliau ketika ini dikecilkan dengan hanya bertumpu kepada pelanggan dan pelancong tempatan disebabkan oleh kemunculan pandemik COVID-19.

KELOMPOK PELANGGAN KUNCUP DEK COVID-19

Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kedai Cik Choo merupakan salah satu destinasi pelancongan yang sering disyorkan oleh pemandu pelancong. Ia sudah menarik kehadiran ramai pelancong dari luar negara termasuk Singapura, Indonesia malah juga Eropah yang datang untuk membeli terompah sebagai barangan cenderahati.

“Nasib baik semasa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, apabila pergerakan domestik dibenarkan kembali, ada juga pembelian dibuat oleh pelanggan dari negeri lain seperti Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur," luahnya.

Terompah, tambah Cik Choo, amat popular dalam kalangan kaum Melayu satu ketika dahulu dan ia sering dipakai ke surau.

Terompah di kedai 'Patricia Choo Collection' dijual pada harga RM20 (S$6.50) setiap pasang, manakala yang dilukis dan diwarna dengan tangan pula dijual pada harga RM38 (S$12). 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan