Pembuat filem mohon maaf kerana saran wanita 'bawa kondom, serah diri dengan rela kepada perogol'
Kes pembunuhan seorang doktor haiwan wanita, yang dikenali sebagai Priyanka Reddy, yang ditemui mati selepas dirogol secara beramai-ramai pada bulan lalu menggemparkan India.
Gambar hiasan. (Gambar fail: AFP)
MUMBAI: Kes pembunuhan seorang doktor haiwan wanita, yang dikenali sebagai Priyanka Reddy, yang ditemui mati selepas dirogol secara beramai-ramai pada bulan lalu menggemparkan India.
Seorang pembuat filem tempatan, Daniel Shravan, mencetuskan kontroversi sehingga menerima kecaman hebat selepas beliau mencadangkan satu skim bagi mencegah berlakunya insiden pembunuhan selepas seseorang wanita itu dirogol.
Shravan bagaimanapun sudah memohon maaf atas kenyataannya di mana beliau menasihatkan para gadis yang berusia 18 tahun di negara itu supaya membawa kondom pada setiap masa, menurut laporan International Business Times.
Dalam catatan di media sosialnya, Shravan juga berkata wanita harus rela melakukan hubungan seks dengan para perogol agar mereka dapat mengelakkan diri daripada dibunuh.
"Perogol mencari cara untuk memuaskan nafsu dan oleh itu, mereka akan terfikir untuk melakukan pembunuhan.
"Jadi, adalah lebih baik jika kaum wanita tidak melawan dan sebaliknya menerima rogol tersebut," katanya.
"Jika anda hendak diperkosa, serahkan kondom kepada perogol dan cuba untuk bekerjasama dengannya semasa dia ingin memenuhi nafsunya.
"Dengan cara itu, dia tidak akan cuba untuk membahayakan anda," kata Shravan.
Menurut laporan International Business Times, Shravan memberitahu bahawa kenyataan awal itu bukan pandangan peribadinya, sebaliknya ia adalah petikan daripada skrip watak jahat projek filemnya.
"Saya ingin meminta maaf kerana mengeluarkan komen-komen mengenai isu sosial sensitif itu.
"Saya menyesal kerana mengeluarkan kenyataan tersebut dan berjanji tidak akan mengulanginya.
"Saya tidak berniat untuk menujukannya kepada sesiapa pun dan saya minta maaf atas segala salah faham di media sosial," tambahnya setelah beliau memadamkan kenyataan awal, seperti ditukil oleh International Business Times.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.