Pembinaan dunia lebih baik tanggungjawab bersama China, AS

Gambar: BERNAMA
BEIJING: Pembinaan dunia yang saling berhubung, inklusif dan berkongsi keselamatan merupakan tanggungjawab bersama China dengan Amerika Syarikat (AS) ,kata Menteri Luar China Wang Yi pada Rabu (1 Jun).
Beliau berkata hubungan kedua-dua negara menghadapi semakin banyak cabaran dengan sejarah hubungan China-AS sering kali diputarbelitkan, selain hala tuju perkembangan berdepan risiko tersasar daripada landasan yang sebenarnya.
Justeru, tambah beliau, kedua-dua pihak perlu memperbetulkan kefahaman, mengetepikan pemikiran Perang Dingin, memperkukuh asas politik, mengawal perselisihan, mengelakkan diri daripada persaingan dan mempertingkat interaksi serta kerjasama.
“Misi utama China adalah membangun demi kesejahteraan rakyat dan jika AS terus mendefinasi hubungannya dengan China sebagai persaingan antara negara besar serta mementingkan kemenangan, maka kedua-dua negara akan berkembang ke arah pertentangan dan konflik sehingga mendorong dunia kepada pergolakan,” katanya ketika berucap di Simposium Henry Alfred Kissinger dan Hubungan China-AS secara maya.
Encik Wang turut menghormati tokoh seperti Kissinger yang memberi perhatian dan menyokong perkembangan hubungan China-AS.
Sementara itu Encik Kissinger, bekas setiausaha negara AS berkata China dan AS sebagai negara besar perlu menetapkan prinsip yang boleh mengelakkan permusuhan.
Beliau mencadangkan kedua-dua pihak mengadakan dialog untuk menekankan kepentingan teras masing-masing serta berharap dialog antara kedua-dua negara akan membawa kelestarian keamanan kepada AS, China dan sejagat.
Untuk rekod, simposium itu dianjurkan Persatuan Diplomatik Rakyat China sempena ulang tahun ke-99 Kissinger.
Peserta simposium turut mengambil kesempatan untuk mengimbau kembali usaha yang dilakukan Kissinger dalam mendorong pembangunan hubungan China-AS serta membincangkan isu melibatkan kedua-dua negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.