Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pembiayaan kesihatan inovatif perlu mencukupi untuk capai "Kesihatan untuk Semua" di M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin semasa di Forum Pembiayaan Kesihatan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada Selasa (6 Sep) berkata sebarang pembiayaan kesihatan yang inovatif harus memastikan bahawa ia pelaburan yang mencukupi bagi membiayai pendekatan "Kesihatan untuk Semua".

“Pembiayaan kesihatan yang lebih baik melalui pembiayaan sektor awam yang mencukupi, cekap dan saksama adalah kunci kepada sistem kesihatan yang mampan,” kata Encik Khairy semasa perasmian forum itu, yang berlangsung secara maya.

Beliau berkata pandemik COVID-19 menunjukkan perlunya untuk memfokuskan semula ekonomi dan mengutamakan pelaburan dalam sektor kesihatan bagi memastikan sistem kesihatan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Di peringkat global, beliau berkata COVID-19 sudah mengganggu penyampaian perkhidmatan, tenaga kerja kesihatan, sistem maklumat kesihatan, pembiayaan dan tadbir urus kesihatan, serta akses kepada ubat-ubatan dan vaksin.

Belajar daripada pengalaman ini, kata Encik Khairy, sambil berkata ia menunjukkan betapa pentingnya negara anggota APEC untuk menilai semula dan merangka hala tuju yang kukuh dan jelas bagi memastikan kemampanan dan daya tahan sistem kesihatan dalam menghadapi krisis kesihatan masa depan selain menambah baik jaringan keselamatan, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
 
Beliau berkata pembiayaan kesihatan yang lebih baik boleh dicapai melalui pengukuhan jagaan kesihatan utama (PHC).

"PHC adalah penting kerana ia merupakan teras kepada semua usaha ke arah perlindungan kesihatan sejagat (UHC) dengan menyediakan penjagaan yang komprehensif dan berterusan melalui rangkaian perkhidmatan kesihatan pelbagai disiplin yang lebih luas.

“Ia adalah cara paling inklusif, berkesan dan cekap untuk melindungi kesihatan orang ramai dan masyarakat,” katanya.

Encik Khairy memaklumkan forum kesihatan APEC bahawa Malaysia kini sedang membangunkan Kertas Putih Kesihatan dengan matlamat untuk mengukuhkan lagi sistem kesihatan negara secara holistik.

“Usaha itu mengiktiraf kepentingan pembiayaan penjagaan kesihatan yang inovatif dalam menuju ke arah penjagaan kesihatan yang mampan dan melangkaui penyampaian penjagaan kesihatan secara langsung selain menangani penentu sosial kesihatan.

"Selain menangani cabaran peringkat populasi seperti masyarakat yang semakin tua dan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) serta jurang dalam sistem kami yang meliputi ketidakseimbangan penyampaian perkhidmatan, pembiayaan terhad untuk kesihatan dan kurang penggunaan data, inovasi dan teknologi," katanya.

Pada 15 Ogos, Encik Khairy berkata Kertas Putih Kesihatan yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada November harus menjadi pernyataan hasrat kolektif negara tentang bagaimana ia boleh menjadikan sistem kesihatan lebih mampan dan berdaya tahan menerusi pemikiran "keseluruhan kerajaan" dan "keseluruhan masyarakat”.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan