Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'Pembersihan' besar-besaran UMNO tumpu ahli sabotaj parti sewaktu PRU15: Ahmad Zahid Hamidi

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: UMNO akan melakukan ‘pembersihan’ parti secara besar-besaran, dengan memberi tumpuan kepada mereka yang didapati mensabotaj parti serta calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara tersebut, akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu negara pada Jumaat (27 Jan). 

“Saya kata dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan parti secara besar-besaran, termasuk mereka yang sabotaj parti dan calon parti pada PRU15, dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri (sabotaj diri sendiri) ketika pilihan raya diadakan.

“Bila besar-besaran ini maknanya adalah (pembersihan), mana yang belum terasa insya-Allah malam esok (27 Jan) akan terasa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Putrajaya pada Khamis (26 Dis). 

Ditanya sama ada mesyuarat MT UMNO itu akan membincangkan mengenai status keahlian bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, yang sebelum ini secara terbuka mengkritik pimpinan parti serta lantang bersuara agar jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan, Encik Ahmad Zahid berkata ia akan diketahui selepas mesyuarat berkenaan.

“Tidak boleh beritahu awal, kalau strategi dikongsi dengan wartawan, tidak lagi jadi strategi, saya harus ‘embargo’ maklumat ini sehingga tiba waktunya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 baru-baru ini meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, namun Encik Khairy mendakwa wujud cubaan membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi mengundi usul berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Encik Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan belum memutuskan sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik, akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan sokongan daripada semua pemimpin parti politik untuk terlibat secara langsung dalam penggubalan RUU berkenaan.

“Bagi saya RUU ini walau belum ada keputusan oleh Jemaah Menteri, tetapi saya fikir dengan kenyataan pemimpin NGO (badan bukan kerajaan) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, harus dijadikan satu panduan,” katanya.

Baru-baru ini, Encik Azam dilaporkan berkata SPRM akan menyiasat apa sahaja bentuk kes rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang, dan tidak tertakluk kepada pemahaman peribadi serta menyifatkan sedekah atau sumbangan sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi untuk mengundi pada pilihan raya.

Badan pemerhati antirasuah Transparency International Malaysia (TI-M) pula mendesak supaya Akta Pendanaan Politik disegerakan, bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap proses demokrasi di Malaysia.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan