Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pembeli di M'sia diberi amaran tentang ikan 'tidak halal'

Orang ramai digesa supaya berhati-hati apabila memakan hidangan ikan selepas beberapa ladang ternakan ikan didapati memberi najis haiwan "tidak halal" sebagai makanan ikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pembeli di M'sia diberi amaran tentang ikan 'tidak halal'

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Feb 2019 01:58AM Dikemas Kini : 22 Feb 2019 01:59AM

GEORGE TOWN: Orang ramai digesa supaya berhati-hati apabila memakan hidangan ikan selepas beberapa ladang ternakan ikan didapati memberi najis haiwan "tidak halal" sebagai makanan ikan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa, pada 2009, beberapa ladang ternakan ikan di negara itu didapati menggunakan air kotor dari ladang-ladang ternakan babi untuk menulenkan makanan ikan.

"Pada 2013, seorang penternak didapati bersalah kerana memberi usus babi kepada ikan patin," kata Presiden CAP SM Mohamed Idris.

Beliau memberitahu Malay Mail, terdapat satu lagi kes di mana tulang-tulang haiwan dikesan di satu tasik ikan. Sampel tulang didapati mengandungi DNA babi.

Encik Idris selanjutnya mendedahkan kes di Perak di mana bangkai babi digunakan sebagai makanan bagi ikan-ikan tilapia.

Beliau merujuk kepada kajian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Univerisiti Sains Malaysia yang mendedahkan 40 peratus pengilang makanan ikan di negara itu menggunakan bahan campuran haiwan, lapor Malay Mail.

"Ini menimbulkan satu kesangsian tentang sama ada haiwan ternakan yang diberikan makanan seperti itu adalah halal," tambahnya lagi.

Encik Idris berkata Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia sudah mengesahkan bahawa haiwan yang diberikan makanan tidak halal adalah haram.

Namun, katanya lagi, Jabatan Pembangunan Islam Malaysia (Jakim) dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal menyatakan makanan haiwan dikategorikan di bawah produk yang tidak dapat disahkan.

Encik Idris menggesa Putrajaya supaya meminda Akta Makanan Haiwan 2009 untuk menyertakan elemen-elemen halal dalam persiapan, pemprosesan, penghasilan dan pengurusan makanan haiwan.

Menurut Malay Mail, Akta Makanan Haiwan mengawal selia industri makanan haiwan dari segi mutu dan pengawalan import, pengilangan, penjualan dan penggunaan makanan haiwan.

Encik Idris turut menggesa Manual Prosedur Pensijilan Halal Jakim diubah bagi menyertakan makanan haiwan sebagai salah satu produk yang dapat disahkan oleh Jakim di bawah skim pensijilan halalnya.    

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan