Skip to main content

Dunia

Pembeli-belah banjiri Tanah Abang di Jakarta 7 hari sebelum Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Tanah Abang di Jakarta Tengah pada Sabtu (15 Apr), tujuh hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, dibanjiri para pengunjung dan pembeli-belah, yang sebahagian besarnya adalah kaum wanita, lapor agensi berita Indonesia, Antara. 

Pasar borong tekstil terbesar di Asia Tenggara itu lebih sesak pada Sabtu berbanding hari-hari sebelumnya, dengan sesetengah pengunjung mengalami kesukaran untuk berjalan di lorong-lorong yang sempit. 

Ramai pembeli dilihat sejak awal pagi hingga tengah hari Sabtu, dengan ramai pelanggan sanggup beratur panjang dalam keadaan yang sempit untuk membeli baju. 

Ramai wanita mencari gamis, yang diperbuat daripada fabrik linen polo atau jenis-jenis baju popular seperti kaftan. 

Reski, 27 tahun, seorang peniaga gamis di Pasar Tanah Abang, berkata, gamis yang diperbuat daripada linen polo adalah antara yang paling laris. 

"Saya boleh menjual 40 hingga 60 keping. Untung harian saya boleh mencecah antara 5 juta rupiah (S$455) hingga 6 juta rupiah (S$546), dan antara 10 juta rupiah (S$910) hingga 13 juta rupiah (S$1,183) pada hujung minggu. 

"Sebelum Ramadan, ia hanya sekitar 1 juta rupiah (S$91) hingga 2 juta rupiah (S$182) sehari," katanya. 

Awal dari itu, Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa para gabenor supaya menggalak masyarakat berbelanja bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara. 

"Kami (pemerintah) harus menggalak orang ramai untuk berbelanja sebanyak mungkin untuk merangsang pertumbuhan ekonomi," kata Presiden Jokowi sewaktu Rapat Kerja Nasional Asosiasi Pemerintah Provinsi Seluruh Indonesia (APPSI) di Balikpapan, Kalimantan Timur pada 23 Februari. 

Beliau menjangkakan kadar perbelanjaan masyarakat akan meningkat kepada 5.4 peratus pada 2024 berbanding 4.93 peratus pada 2022.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita