Pembantu tadbir didakwa buat tuntutan palsu rawatan kesuburan
Seorang pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini (29 Mac), atas 32 tuduhan membuat tuntutan palsu berkaitan rawatan perubatan kesuburan bernilai RM209,233 (S$69,500) sejak 2014.

Mazuin Zulkifli mengaku tidak bersalah atas 32 tuduhan membuat tuntutan palsu. (Gambar: BERNAMA)
KUANTAN: Seorang pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini (29 Mac), atas 32 tuduhan membuat tuntutan palsu berkaitan rawatan perubatan kesuburan bernilai RM209,233 (S$69,500) sejak 2014.
Pengakuan Mazuin Zulkifli, 33 tahun, yang berasal dari Taman Impianku di Jalan Sungai Lembing, direkodkan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 10 Okt 2014 hingga 25 Okt 2017 dengan mengemukakan borang perubatan beserta resit-resit rawatan yang berjumlah antara RM3,243 hingga RM9,000 (S$1,000 - S$3,000) di Pusat Kesuburan Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Wanita bertubuh kecil itu didakwa melakukan kesalahan itu semasa dia berkhidmat di Jabatan Perhutanan Pahang dan Jabatan Pertanian Pahang, memandangkan dia ditukarkan ke jabatan itu pada tahun 2017.
Semasa prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM50,000 (S$16,000) dengan seorang penjamin kepada tertuduh dengan syarat tambahan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.
Peguam Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar bagaimanapun merayu supaya jumlah jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM2,500 (S$830).
"Tertuduh hanya dimaklumkan tarikh ke mahkamah pada dua hari lalu, dan dalam tempoh masa yang singkat itu, anak guam saya hanya mampu mengumpulkan wang sebanyak RM15,000 (S$5,000) untuk jaminan.
"Kakak tertuduh bersedia untuk menjadi penjamin. Malah sepanjang siasatan, tertuduh sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM dan tidak pernah berniat untuk melarikan diri," katanya.
Encik Mohd Ghazali membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap awal bulan.
Beliau menetapkan 29 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.