Skip to main content

Dunia

Pembantu rumah Muslim yang dipecat kerana solat dan pakai jilbab saman majikan Hong Kong

Anggaran Waktu Membaca:
Pembantu rumah Muslim yang dipecat kerana solat dan pakai jilbab saman majikan Hong Kong

Sebuah agensi pembantu rumah asing di Singapura. (Gambar: Ngau Kai Yuan)

HONG KONG: Seorang pembantu Muslim memfailkan saman diskriminasi sebanyak HK$255,000 (S$44,400) terhadap keluarga warga Hong Kong kerana memecatnya selepas melarangnya memakai jilbab dan menunaikan solat ketika bekerja.

Writ Mahkamah Daerah, dilihat oleh akhbar South China Morning Post pada Khamis (14 Sep), melaporkan keluarga yang mempunyai tiga anggota itu melanggar Ordinan Diskriminasi Kaum ketika meminta Dwi-Lestari mengabaikan tanggungjawab agamanya sebagai syarat untuk kekal dalam pekerjaannya.

Writ tersebut menyatakan kontraknya dibatalkan pada 16 Mac 2020, dua minggu selepas Dwi-Lestari mula bekerja dengan pesara Leung Choi, anak lelakinya Ho Wai-sun dan anak perempuannya Ho Wai-ngor, di dalam flat mereka yang terletak di estet perumahan awam Wah Fu di daerah Selatan.

Peguam Dwi-Lestari berkata dia tidak diberitahu sama ada Leung, 87 tahun, atau anak-anaknya mempunyai bantahan terhadapnya mengamalkan agamanya sebelum kontrak dimeterai.

Namun, sejurus selepas dia mula bekerja, anak perempuan Leung mengadu mengenai jilbab pembantu rumah tersebut, yang menutupi badannya, ketika dia berada di luar.

Cik Ho memberi amaran kepada pembantu rumah itu terhadap pakaiannya dan menggesanya untuk tidak memakai jilbab ketika menemani keluarga tersebut di tempat awam.

Menurut writ itu, pembantu rumah tersebut mengalah dan hanya memakai tudung dan topi ketika dia perlu keluar.

Selepas itu, anak-anak Leung didakwa menegurnya kerana menunaikan solat di flat mereka.

Encik Ho dilaporkan mengadu kepada pengurus agensi pekerjaan Dwi-Lestari dan menghantar rakaman video yang diambilnya ketika pembantu rumah itu sedang solat.

Pembantu rumah tersebut memohon maaf dan mencadangkan supaya dia dibenarkan untuk solat di luar flat, namun Encik Ho menolak cadangannya dan menegaskan dia berhenti solat jika dia ingin terus bekerja.

Menurut writ tersebut, keluarga itu menamatkan kontrak Dwi-Lestari dan Encik Ho dilaporkan memberinya HK$100 (S$17) tanpa memberi penjelasan.

Dwi-Lestari meluangkan malam terakhirnya di Hong Kong di flat pengurus agensi pekerjaannya sebelum pulang ke Indonesia pada keesokan hari, tambah writ itu.

Pada awal 2021, Dwi-Lestari memfailkan aduan dengan Suruhanjaya Peluang Sama Rata dengan bantuan 'Justice Without Borders', sebuah badan tidak meraih keuntungan (NGO) yang membantu pekerja hijrahan dengan tuntutan rentas negara.

Plaintif menuntut HK$254,620 (S$44,310) untuk gaji yang tertunggak, bayaran bagi notis, kehilangan pendapatan dan ganti rugi punitif.

Sesi perbicaraan pertama dijadualkan pada pertengahan November depan.
Sumber : South China Morning Post/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita