Pembangun aplikasi MySejahtera mohon maaf salah beri status kuarantin COVID-19
Pembangun aplikasi pengesanan kontak COVID-19 Malaysia, MySejahtera, memohon maaf kerana tersilap memberi status kuarantin kepada beberapa pengguna.

(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Pembangun aplikasi pengesanan kontak COVID-19 Malaysia, MySejahtera, memohon maaf kerana tersilap memberi status kuarantin kepada beberapa pengguna.
Dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan pada pagi Ahad (7 Nov), pasukan MySejahtera berkata pihaknya telah membetulkan masalah itu dan profil pengguna yang tersilap diberi status Orang Di Bawah Pengawasan (PUS) atau Perintah Pengawasan Di Rumah (HSO) sudah dibetulkan.
“Selamat pagi semua - kami memohon maaf atas kesilapan kami yang menyebabkan pengguna diberikan status HSO/PUS secara rambang,” tulis MySejahtera di Twitter.
“Kami sudah membetulkan masalah yang menyebabkan perkara ini berlaku. Semua HSO yang salah sudah dipadamkan, dan status PUS yang salah diperbetulkan," tambahnya.
Kenyataan itu dibuat selepas beberapa pengguna online menarik perhatian di Twitter bahawa status profil mereka di MySejahtera tiba-tiba ditukar kepada PUS atau HSO, walaupun mereka tidak sedar ada kontak dengan sebarang kes COVID-19.
Pengguna Twitter @lokkhee1999 menulis bahawa dia melihat profil MySejahteranya bertukar kepada status HSO pada 2.00 pagi Ahad walaupun tidak mempunyai sejarah perjalanan atau kontak dengan kes COVID-19 sejak 14 hari lalu.
"Bagi sejarah (perjalanan) saya, saya belum pun (pergi) ke mana-mana tempat dalam tempoh 14 hari lalu, sila semak perkara ini," tulis pengguna itu.
Pengguna Twitter @lily_hara menulis: "Saya dihalang daripada menaiki penerbangan pagi ini kerana status saya tiba-tiba bertukar kepada PUS."
Menjawab kenyataan MySejahtera di Twitter, Jabatan Kesihatan Awam Malaysia menulis bahawa pengguna yang masih menunjukkan status yang salah boleh cuba log keluar dan log masuk kembali, memadam aplikasi MySejahtera dan memuat turunnya semula atau mengosongkan 'cache' di bawah tab settings dalam aplikasi itu.
Pada Oktober, beberapa pengguna MySejahtera menerima kata laluan sekali sahaja (OTP) yang tidak diminta untuk mengesahkan nombor telefon mereka bagi pendaftaran daftar masuk.
Pasukan MySejahtera ketika itu berkata permintaan itu adalah akibat "skrip hasad" namun menekankan bahawa tiada kebocoran data pengguna yang berlaku.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.