Pembangkang tidak akan persulit kerajaan PM Ismail Sabri, kata Anwar Ibrahim
Parti pembangkang tidak akan mempersulitkan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.
PUTRAJAYA: Parti pembangkang tidak akan mempersulitkan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kata Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.
"Kita beritahu (kepada Perdana Menteri) kalau suasana dan program-program itu agak pro-rakyat kita tak akan persulitkan.
"Kita beri jaminan kalau program pro-rakyat, program menangani COVID-19 ini lebih berkesan, maka kita tiada masalah untuk menjamin keadaan lebih terkawal," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Encik Ismail Sabri di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya hari ini (25 Ogos).
Encik Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai gesaan supaya usul undi percaya terhadap Encik Ismail Sabri dilakukan semasa sidang Dewan Rakyat akan datang.
Dua lagi pemimpin pembangkang iaitu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut menyertai pertemuan itu yang dibuat atas jemputan Pejabat Perdana Menteri.
Ketiga-tiga pemimpin itu tiba di Bangunan Perdana Putra pada pukul 2.00 petang dengan menaiki kenderaan berasingan dan pulang kira-kira pukul 3.30 petang.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggesa undi percaya terhadap Encik Ismail Sabri dilakukan segera di Parlimen. Gesaan itu disokong oleh Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin dengan mengatakan bahawa usul undi percaya perlu dilakukan meskipun Ahli Parlimen Bera itu sudahpun mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.
Encik Anwar, yang juga Presiden PKR, berkata dalam pertemuan lebih sejam itu bahawa beliau telahpun mengemukakan isu menangani permasalahan COVID-19 yang lebih berkesan, program-program pro-rakyat yang lebih menyentuh permasalahan golongan miskin dan kehilangan pekerjaan.
"Itu kita tekankan sebagai yang asas. Jadi untuk mententeramkan dan mengurangkan suhu politik itu memang dipersetujui," ujarnya sambil menambah beliau berharap isu-isu tersebut akan menjadi keutamaan Perdana Menteri baru.
Encik Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Encik Ismail Sabri kerana meluangkan masa berbincang dengan parti-parti pembangkang.
"Saya ucap terima kasih…Ismail Sabri ini mewakili UMNO dan dia bincang dengan Anwar dan DAP. Saya bergurau dengan dia, No Anwar No DAP, ini nampak dah berubahlah. Dia kata ini kerana semangat titah tuanku (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) untuk kerjasama (dengan semua pihak)," ungkap beliau.
Encik Anwar menambah dalam pertemuan itu, Encik Lim turut mengemukakan isu ekonomi termasuk moratorium bank manakala Encik Mohamad pula membangkitkan soal kesan parah COVID-19 di beberapa kawasan yang menuntut pendekatan baru dan tidak terikat dengan kaedah lama yang terbukti belum cukup berkesan.
Ketika ditanya sama ada isu Majlis Pemulihan Negara dibincangkan dalam pertemuan tersebut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata perkara tersebut tidak disentuh.
Mengenai jawatan ketua pembangkang ditawarkan saraan dan kemudahan yang setara dengan menteri kanan seperti yang pernah diusulkan mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Encik Anwar berkata perkara itu juga tidak berbangkit.
"Saya pun tidak (berminat), saya tidak mahu itu dijadikan isu. Daripada awal kita kata kita tak datang untuk meminta jawatan untuk kita, isu kita khusus soal ekonomi rakyat dan COVID-19," katanya.
Encik Anwar berkata selepas pertemuan tadi, parti-parti pembangkang akan mengadakan mesyuarat susulan di peringkat jawatankuasa.
"(Mesyuarat) ini untuk mencerakinkan apa yang boleh dipersetujui dan langkah-langkah harus diambil supaya keadaan kedudukan perdana menteri dan kedudukan negara lebih terkawal dan nyaman politiknya," ungkap beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.