Pembangkang lompat parti tidak bantutkan pengukuhan Malaysia Baharu: Mujahid Yusof
Kebanjiran bekas anggota dan pemimpin UMNO ke dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan membawa kepada pengukuhan Malaysia Baharu jika ideanya terbantut dan disabotaj rakan komponen sendiri, kata Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa.
Gambar fail Dr Mujahid Yusof Rawa. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Kebanjiran bekas anggota dan pemimpin UMNO ke dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan membawa kepada pengukuhan Malaysia Baharu jika ideanya terbantut dan disabotaj rakan komponen sendiri, kata Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa.
Justeru, katanya, Malaysia Baharu perlu dipertahankan dengan desakan idea dan gagasan yang baru kerana ia menjadi kayu pengukur kepada pelebaran kuasa PH, termasuk kebanjiran daripada parti pembangkang membabitkan UMNO, Persatuan Cina Malaysia (MCA) atau Kongres India Malaysia (MIC) sekalipun.
“Sepatutnya kita bertanya apakah kebanjiran ini memperkukuhkan idea Malaysia Baru atau tidak? Malaysia Baharu adalah lebih besar daripada parti komponen mahupun PH sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (23 Dis).
Malaysia Baharu adalah label yang kini popular digunakan untuk menggambarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei.
Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata Malaysia Baharu bermaksud kerajaan akan kembali kepada demokrasi dan kedaulatan undang-undang dan menghormati kehendak rakyat.
Encik Mujahid, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata parti komponen di dalam PH tidak perlu panik kebanjiran bekas pemimpin pembangkang, dan sebaliknya menerima mereka dengan hati terbuka.
“Hari ini, PH diuji dengan kebanjiran bekas pemimpin UMNO menganggotai salah satu parti komponennya. Mengapa panik? Bukankah keterbukaan menerimanya adalah tertakluk kepada idea gagasan dan politk baharu?
“Atau apakah kita hilang kepercayaan kepada rakan komponen kita? Mungkin kita tidak jelas apakah penghijrahan ini memperkukuhkan parti komponen atau PH?,” katanya.
Encik Mujahid, yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar, berkata PH tidak mampu menyekat mana-mana komponen parti berkembang tetapi kepimpinan mempunyai segala hak untuk meletakkan gagasan Malaysia Baharu sebagai penentu kepada mana-mana elemen baharu yang masuk pasca PRU ke-14.
Jelasnya, Malaysia Baharu adalah tuntutan rakyat dan mereka berhak mempersoalkan kepentingan dan keutamaan politik baru.
“Selagi ruang Malaysia Baharu dipermudahkan laluannya, tiada siapa berhak disekat tetapi jika ruang ini disempitkan dengan saki-baki idea ke belakang maka semua komponen berhak bersuara atas nama Malaysia Baharu.
“Malaysia Baharu lebih besar untuk dipertahankan daripada kepentingan kepartian mahupun kepentingan diri. Ini termasuk perasaan kita kepada dinamika di sekeliling dengan landskap baharu. Kita terpaksa 'telan' semua perasaan dengan matlamat yang jelas untuk mempertahankan idea Malaysia Baharu,” katanya.
Encik Mujahid turut menasihatkan semua parti komponen supaya menjauhi sama sekali perbalahan dalaman ketika membawa idea dan gagasan Malaysia Baharu ini kerana wujud penentang Malaysia Baharu yang mahukan pimpinan PH hilang kepercayaan sesama mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.