Pembangkang buat 'drama' semasa kunjungan delegasi S'pura ke Parlimen M’sia
Dewan Rakyat Malaysia kecoh pada Selasa (19 Mac) apabila Anggota Parlimen Tanjung Karang Noh Omar tidak mengendahkan arahan keluar dari persidangan dewan, yang diputuskan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.
Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof dan Speaker Parlimen Singapura Tan Chuan-Jin. (Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat Malaysia kecoh pada Selasa (19 Mac) apabila Anggota Parlimen Tanjung Karang Noh Omar tidak mengendahkan arahan keluar dari persidangan dewan, yang diputuskan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.
Ketika kekecohan itu berlangsung, Dewan Rakyat menerima kunjungan Speaker Parlimen Singapura Tan Chuan-Jin serta delegasinya.
Anggota Parlimen Batu Gajah V Sivakumar menganggap perbuatan pembangkang, di mana sekitar 20 anggota parlimen keluar dewan menyusuli penggantungan Encik Noh, itu sebagai satu perbuatan yang senjaga mencetuskan 'drama' untuk mencemarkan Dewan Rakyat kerana tahu delegasi Parlimen Singapura melakukan kunjungan rasmi semalam (19 Mac).
"Saya percaya mereka telah pun merancang untuk membuat ‘drama’ selepas mengetahui kehadiran delegasi Singapura.
"Tindakan Noh Omar minta ‘bantuan’ speaker Singapura bukti UMNO cuba mencemarkan reputasi parlimen Malaysia," kata Encik Sivakumar kepada akhbar Malaysiakini.
Pada pagi Selasa (19 Mac), Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming menggantung Encik Noh daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama tiga hari selepas pertikaian lidah antara mereka berdua pada Isnin (18 Mac).
Encik Noh menyifatkan Encik Nga sebagai tidak layak untuk menjadi timbalan yang dipertua menyusuli kenyataannya yang membandingkan kerjasama UMNO-PAS dengan Taliban, lapor Malaysiakini.
Semasa mempersoalkan penggantungannya yang menurutnya dibuat semasa beliau tidak hadir, Encik Noh bertanya Speaker Parlimen Singapura Tan Chuan-Jin dan berkata: "Saya nak tanya speaker dari Singapura, pernahkah speaker Singapura menggantung ahli tanpa kehadiran orang yang dituduh?"
Mengulas mengenai perkara itu, Encik Sivakumar memberitahu Malaysiakini bahawa tindakan Encik Noh bertanya kepada Speaker Singapura sebagai tidak cerdik.
Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof pula berkata rakan sejawatannya dari Singapura berada pada 'waktu dan ketika yang tidak kena' apabila menyaksikan kekecohan di Dewan Rakyat semalam (19 Mac).
Encik Mohamad Ariff bagaimanapun memberi jaminan kepada Encik Tan dan delegasinya itu bahawa kekecohan itu bukan sesuatu yang berlaku setiap hari semasa sesi persidangan Parlimen Malaysia.
"Saya beri jaminan kepada anda dan delegasi anda, bahawa ia (kekecohan) bukan berlaku setiap hari. Seperti apa yang sering disebut, anda berada "at the wrong place, at the wrong time" semasa di parlimen Malaysia hari ini. Namun, ia (kekecohan) menunjukkan kepada anda rencam suasana yang boleh terjadi, yang boleh memberikan masalah kepada speaker," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis Siri Ceramah Speaker - Tadbir Urus di Singapura - Perspektif Parlimen di bangunan Parlimen semalam (19 Mac).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.