Pembakaran terbuka dalam cuaca panas cetus jerebu di M'sia
Jerebu yang berlaku di beberapa kawasan di Malaysia merupakan 'jerebu tempatan' yang antaranya berpunca daripada pembakaran terbuka terutama dalam cuaca panas ketika ini.

(Gambar: Agensi berita)
KUALA LUMPUR: Jerebu yang berlaku di beberapa kawasan di Malaysia merupakan 'jerebu tempatan' yang antaranya berpunca daripada pembakaran terbuka terutama dalam cuaca panas ketika ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata hujan yang kurang dan aktiviti pembakaran terbuka menyumbang kepada indeks pencemaran udara yang tidak sihat, seterusnya menyebabkan jerebu.
"Memang ada kena-mengena (cuaca panas), kita tidak banyak menanam (tumbuhan), sebaliknya banyak aktiviti pembakaran terbuka untuk membersihkan kebun dan sebagainya, maka ia menyebabkan jerebu tempatan," katanya kepada Bernama hari ini (2 Mac), sambil menafikan ia berpunca daripada pencemaran dari negara jiran.
Beliau berkata, menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS), terdapat juga kebakaran di kawasan hutan simpanan pada ketika ini.
Justeru, katanya MetMalaysia sentiasa menasihatkan orang ramai supaya jangan melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti di luar serta minum air secukupnya.
Sebelum ini, MetMalaysia memaklumkan negara itu kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac 2021.
Sepanjang tempoh tersebut, taburan hujan adalah agak rendah di Semenanjung Malaysia terutamanya di bahagian utara Semenanjung.
Bagaimanapun, MetMalaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini.
Berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pagi tadi, tiga kawasan di Selangor mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan stesen Johan Setia Klang paling tinggi iaitu 183 diikuti Banting (165) dan Petaling Jaya (141).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.