Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pembaharuan tangani ketirisan subsidi barangan keperluan demi manfaat rakyat M'sia sahaja

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Pembaharuan komprehensif bagi menangani ketirisan subsidi barangan keperluan termasuk petrol dan diesel akan dilaksana agar kemudahan itu dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia sahaja.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia, Alexander Nanta Linggi berkata langkah pembaharuan itu bertujuan mengelak petrol dan diesel bersubsidi digunakan oleh warga serta kenderaan asing dan diseludup ke luar negara atau disalah guna.

"Langkah yang sama akan diambil bagi memastikan minyak masak dan gas asli cecair (LPG) bersubsidi sampai ke isi rumah miskin dan kuotanya tidak disalah guna oleh peniaga," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur pada Sabtu (8 Okt) sebagai mengulas pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat (7 Okt).

Menerusi Bajet 2023 yang bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Bersama', sebanyak RM55 bilion (S$16.9 bilion) diperuntukkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP).

Selain itu, Encik Nanta berkata peruntukan RM200 juta (S$61 juta) bagi Program Penyeragaman Harga bertujuan menampung kos pengangkutan dan kos pengedaran barang keperluan asas agar rakyat di kawasan pedalaman dan pulau-pulau dapat menikmati harga sama dengan pengguna di bandar .

Beliau berkata menerusi Bajet 2023, kerajaan akan berusaha mempromosi barangan Malaysia dan meningkatkan ekonomi pengusaha tempatan menerusi peruntukan RM10 juta (S$3 juta) kepada kementerian itu bagi memperhebat Kempen Beli Barangan Malaysia.

Katanya, kerajaan akan terus memperkasa kempen kepenggunaan khususnya berhubung hak-hak pengguna serta menyediakan bantuan khas pembiayaan pelantikan peguam bagi membantu pengguna dalam pengendalian kes permohonan semakan kehakiman di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan