Pemansuhan tol di M'sia ditangguh
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membuat keputusan berkaitan isu menghapuskan kutipan tol apabila keadaan ekonomi negara kembali stabil.

(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan membuat keputusan berkaitan isu menghapuskan kutipan tol apabila keadaan ekonomi negara kembali stabil.
Menteri Kerja Raya Malaysia, Baru Bian, berkata tindakan menghapuskan tol akan menyebabkan kerajaan perlu membayar pampasan dianggarkan bernilai RM400 bilion (S$134 bilion) kepada syarikat-syarikat konsesi tol.
"Untuk makluman, kerajaan sentiasa berusaha sebaik mungkin menunaikan janji dalam buku PH termasuk cadangan menghapuskan tol.
“Namun begitu, kerajaan mengakui bukan mudah untuk laksanakannya akibat tekanan kewangan semasa, sehubungan itu kita tangguh dahulu cadangan (hapuskan tol) sehingga ekonomi negara benar-benar stabil dan mengizinkan," katanya.
Encik Baru menjawab soalan Ahli Parlimen (BN-Jelebu) Jalaluddin Alias pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini (13 Ogos).
Encik Jalaluddin mahu menteri itu menyatakan senarai terkini tol-tol yang akan dihapuskan untuk meringankan beban rakyat dan tempoh jangkaan ia akan dilaksanakan.
Encik Baru turut menegaskan penghapusan tol tidak termasuk dalam janji 100 hari kerajaan PH sambil menyatakan kerajaan, melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara, akan mencari langkah lain yang lebih praktikal untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat negara ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.