Pemandu treler yang akibatkan 5 orang rentung ditahan polis
Pemandu treler yang merempuh sebuah kereta sehingga mengakibatkan lima orang rentung dalam kemalangan di Km255.3 Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara selepas Terowong Menora semalam (5 Okt), ditahan polis.
Kemalangan yang akibatkan lima orang terkorban. (Gambar: Bernama)
KUALA KANGSAR: Pemandu treler yang merempuh sebuah kereta sehingga mengakibatkan lima orang rentung dalam kemalangan di Km255.3 Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara selepas Terowong Menora semalam (5 Okt), ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Razali Ibrahim berkata pemandu treler berusia 41 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut di tempat kejadian sejurus selepas kemalangan yang berlaku kira-kira jam 11.47 pagi.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu itu terpaksa membelok ke kanan menghimpit pembahagi jalan bagi mengurangkan kelajuan treler selepas mendapati brek kenderaannya gagal berfungsi, yang mengakibatkan ia melanggar kereta Perodua Myvi, Proton Iswara dan Kia Forte.
”Kereta Myvi dan Iswara terselamat dalam kemalangan itu… hanya Kia Forte yang tersepit dengan treler. Pemandu treler itu mendakwa dia tidak nampak sebuah kereta di kanan jalan raya ketika kejadian," katanya ketika ditemui para wartawan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar semalam (6 Okt).
Menurut Encik Razali, hasil semakan mendapati pemandu treler yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu mempunyai 13 saman trafik antaranya memandu melebihi had kelajuan, manakala syarikat pemilik treler itu pula mempunyai 11 saman pelbagai kesalahan.
Menurutnya lagi, pemandu treler itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini (7 OKt) untuk ditahan reman sekiranya proses siasatan masih belum lengkap dan kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu Encik Razali berkata beberapa individu dipercayai anggota keluarga mangsa kemalangan sudahpun tampil untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi proses pengecaman mayat.
Difahamkan, tiga daripada lima mangsa yang rentung terdiri daripada seorang wanita warga emas berusia 60 tahun, serta seorang wanita berusia 37 tahun bersama bayi lelakinya yang baru berusia setahun, dan mereka dipercayai dalam perjalanan dari Selangor untuk menghadiri upacara keagamaan di Taiping.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.