Pemandu maut selepas makan terlalu banyak durian
Seorang pemandu van awam (angkot) ditemui mati dalam van yang dipandunya. Adie Syarifudin, 53 tahun, dalam keadaan yang agak mencurigakan semasa ditemui rakan kerjanya.

(Gambar hiasan: Merdeka.com/Pixabay)
TANGERANG: Seorang pemandu van awam (angkot) ditemui mati dalam van yang dipandunya. Adie Syarifudin, 53 tahun, dalam keadaan yang agak mencurigakan semasa ditemui rakan kerjanya.
Jenazah Allahyarham terbujur kaku dalam van tersebut. Hidungnya pula berdarah. Semasa ditemui, beliau sudah tidak lagi bernyawa.
Insiden itu menggemparkan para pemandu angkot yang lain. Namun, ternyata Allahyarham Adie meninggal dunia kerana memakan terlalu banyak durian.
Jurucakap polis, Encik Alexander Yurikho mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia bukan kerana dibunuh atau dipukul, lapor Tangerang News.
Insiden berlaku di Kampung Curug Wetan, daerah Tangerang.
"Korban menghidapi penyakit darah tinggi. Menurut para saksi, Allahyarham memakan banyak durian pada hari sebelumnya," jelas Encik Alexander kepada Tangerang News.
Allahyarham Adie dipercayai sudah lama menghidap penyakit darah tinggi. Gara-gara tidak menjaga pemakanannya, tekanan darahnya disyaki melambung tinggi sehingga Allahyarham meninggal dunia dalam angkotnya.
"Korban meninggal kerana memakan terlalu banyak durian sehingga pembuluh darahnya pecah dan darah keluar dari hidungnya," tambah Encik Alexander.
Media tempatan difahamkan keluarga Allahyarham Adie tidak mahu bedah siasat dijalankan. Mereka menerima hakikat bahawa lelaki itu meninggal dunia kerana penyakit yang dideritanya.
Jenazah dikebumikan di kawasan Ciamis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.