Skip to main content

Dunia

Pemandu lori mogok, import dari Korea ke SG akan ambil masa lebih lama, kos naik

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perniagaan di Singapura sudah mula merasakan  kesan mogok pemandu lori Korea Selatan di seluruh negara, yang menyebabkan gangguan rantaian bekalan. 

Ribuan pemandu lori kargo di Korea Selatan melancarkan mogok sejak lebih dua minggu disebabkan kurangnya kemajuan mengenai tuntutan gaji, dengan rundingan antara pekerja dengan pemerintah menemui jalan buntu sejauh ini. 

Mogok itu menjejas rantaian bekalan dan menyebabkan negara tersebut mengalami kerugian sekitar 3.5 trilion won (S$3.6 trilion) akibat penghantaran yang tertangguh. Ia turut mengurangkan penghantaran petrokimia ke luar negara kepada sekitar 5 peratus paras biasa. 

Beberapa perniagaan Singapura melaporkan penghantaran barangan Korea mengambil masa lebih lama untuk tiba, memaksa mereka untuk mencari bekalan alternatif, sekali gus menaikkan kos serta harga mereka. 

Restoran Korea Kko Kko Na Ra antara perniagaan yang terjejas oleh gangguan tersebut. Misalnya, kos mengimport ketam yang popular dalam kalangan antara pelanggannya, kian meningkat di tengah-tengah mogok pemandu lori yang masih berlaku. 

"Kami mengimport ketam secara langsung dari Korea setiap bulan," kata pemilik restoran itu, Eon Lee. 

"Disebabkan permintaan tinggi pelanggan di tengah-tengah penangguhan logistik, kami tiada pilihan selain mengimport bahan menerusi pengangkutan udara.

"Kosnya amat tinggi dan kami terpaksa menampung kos tambahan, dan menjual makanan kami tanpa meraih sebarang untung." 

Namun, restoran itu mungkin perlu mengongsi kos tinggi itu dengan pelanggan sekiranya mogok itu berlarutan. 

"Sekiranya masalah ini berlarutan, kami mungkin harus menaikkan harga kami sebanyak 20 hingga 30 peratus. Kami tiada pilihan lain," kata Encik Lee. 

MOGOK JEJAS IMPORT KE SG

Selain produk makanan, mogok itu turut menjejas import Korea yang lain ke Singapura. 

Koodshot, laman runcit online yang menjual pakaian golf dan tenis dari Korea, menyaksikan hampir sepertiga pelanggannya membatalkan pesanan mereka disebabkan penghantaran tertangguh. 

Sesetengah pelanggan di Singapura hanya menerima pesanan mereka selepas tiga hingga empat minggu," kata pemilik Koodshot, Annabelle Bo Young Lee. 

Ribuan pemandu lori yang diwakili kesatuan Solidariti Pemandu Lori Kargo, melancarkan mogok sejak 24 November. 

Mereka menuntut agar pemerintah Korea Selatan mengekalkan sistem bayaran gaji minimum dan memperluaskannya bukan saja untuk pemandu lori bagi kontena penghantaran dan simen, tetapi juga bagi industri-industri lain, seperti tangki kimia, keluli dan minyak serta lori penghantaran pakej. 

Skim tersebut dijangka tamat tempoh pada akhir tahun ini. 

Setakat ini, tiada kemajuan dicapai semasa rundingan. 

Pemerintah menekankan mogok itu melanggar undang-undang dan memberi amaran akan ambil tindakan lebih tegas, namun anggota kesatuan bersikap ingkar dan berikrar untuk meneruskan perjuangan mereka. 

Lebih banyak mogok dijangka berlaku pada hari-hari mendatang. 

Hari ini, Seoul mengarahkan pemandu lori yang mogok dalam sektor bahan api dan keluli kembali bekerja, lebih seminggu selepas arahan yang sama dikeluarkan kepada pemandu lori simen.

Pemandu lori yang gagal mematuhi arahan itu berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum sekitar AS$22,700 (S$30,812).

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita