Skip to main content

Dunia

Pemandu bas sekolah akan didakwa selepas kebakaran ragut 23 nyawa di Thailand

Anggaran Waktu Membaca:
BANGKOK: Polis Thailand pada Selasa (1 Okt) akan mendakwa pemandu bas sekolah yang terbakar, mengakibatkan kematian 23 pelajar dan guru di Bangkok.

Pemangku Ketua Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand, Jeneral Kittharath Punpetch berkata pemandu itu menyerah diri pada lewat petang Selasa dan sedang disoal siasat di Balai Polis Khu Khot.

Beliau berkata pemandu itu akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.

"Suspek mengaku bersalah dan penyiasat menahannya di Balai Polis Khu Khot," kata Kittharath pada sidang media pada Rabu (2 Okt).

"Penyiasat telah menemu bual saksi, mengumpul bukti dari tempat kejadian dan meneliti rakaman CCTV."

Beliau berkata bas itu dilengkapi 11 tong gas, tetapi hanya enam daripadanya yang berdaftar.

"Siasatan forensik diperlukan. Mereka yang bertanggungjawab akan didakwa."

Institut Perubatan Forensik Hospital Polis sedang bekerjasama dengan Pejabat Sains Forensik Polis untuk mengesahkan identiti mangsa.

Menyusuli kejadian itu, Kementerian Pendidikan Thailand mengarahkan penggantungan serta-merta semua lawatan lapangan sekolah.

Menteri Pendidikan Permpoon Chidchob berkata jika lawatan seperti itu diperlukan, langkah keselamatan dan rancangan perjalanan yang ketat mesti dilaksanakan dan Jabatan Pengangkutan Darat mesti memeriksa keadaan kenderaan sebelum melakukan perjalanan.

"Bermula sekarang, kenderaan yang digunakan untuk lawatan sekolah tidak boleh berusia lebih daripada lima tahun. Siasatan mendapati bas yang terlibat dalam kejadian ini adalah kenderaan lama, sudah berusia beberapa dekad," katanya.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita