Pemandu bas JB mogok; ribuan pekerja Malaysia ke SG terjejas
Ribuan pekerja Malaysia di Singapura yang menyeberangi dengan menaiki bas ulang-alik pada Isnin (21 Jul) terjejas apabila kira-kira 100 pemandu bas tersebut melancarkan mogok sejak pukul 5.00 pagi tadi.
Ribuan pekerja Malaysia di Singapura yang berulang-alik menggunakan bas terjejas hari ini, apabila kira-kira 100 pemandu bas mogok sejak jam 5 pagi tadi.
Tindakan mereka menyebabkan beribu-ribu pekerja Malaysia terkandas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan beberapa lokasi hentian bas utama untuk ke Singapura.
Pekerja restoran di Singapura, Munir Selamat, 34, berkata beliau terkejut apabila mendapati barisan untuk menaiki bas ke Singapura sesak sebaik tiba di BSI pada pukul 6.30 pagi tadi.
Selepas menunggu hampir setengah jam, beliau dan beberapa pekerja Malaysia di Singapura yang lain mengambil keputusan untuk berjalan kaki dari BSI merentas Koswe untuk ke Singapura yang berjarak kira-kira 1.05 kilometer (km).
"Saya dan yang lain terkejut dan terpinga-pinga apabila mendapati barisan untuk menaiki bas ke Singapura sangat panjang sebelum diberitahu pemandu bas mogok hari ini.
"Kami tiada pilihan lain selain untuk berjalan kaki masuk ke Singapura kerana tidak mahu terlewat memulakan kerja sehingga menjejaskan kami juga nanti," katanya ketika dihubungi Berita Harian Malaysia.
Sebelum ini, tular di media sosial keluhan pekerja Malaysia di Singapura yang lewat ke tempat kerja selepas para pemandu bas ke Singapura melancarkan mogok berhubung isu gaji.
Barisan panjang didakwa bermula dari lorong pemeriksaan passport di BSI di tingkat atas hingga ke platform bas menyebabkan ribuan terkandas.
Rakaman video yang memaparkan pekerja Malaysia terpaksa berjalan kaki beramai-ramai di Koswe turut tular dan disebarkan di media sosial.
Sementara itu, pemandu bas ke Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Atoi, 35 tahun, mendakwa kira-kira 100 pemandu bas ke Singapura nekad mogok bermula pukul 5.00 pagi tadi.
Menurutnya, ia berikutan ketidakpuasan hati pemandu bas terhadap penyelarasan gaji baharu dibuat syarikat bas yang dilihat menganiaya pemandu selepas gaji mereka dikurangkan dengan ketara.
"Penyelarasan gaji terbaharu yang berkuat kuasa dua bulan lalu, kami anggap melampau, kerana ia menyebabkan pendapatan kami berkurangan dengan ketara di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup.
"Contohnya sebelum ini pemandu bas Malaysia ke Singapura diberi gaji antara RM2,800 (S$846) hingga RM2,900 (S$876) sebulan, namun penyelaras gaji dibuat menyebabkan kami hanya mendapat gaji tidak sampai RM2,000 (S$604) sebulan.
"Ini tidak termasuk syarat wajib yang tidak adil ditetapkan iaitu penambahan perjalanan wajib daripada empat kepada lima yang menjejaskan tuntutan lebihan perjalanan selain pemotongan gaji yang tidak jelas," katanya ketika dihubungi Berita Harian Malaysia.
Difahamkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh sedang mengadakan pertemuan dengan syarikat serta pemandu bas bagi menyelesaikan isu mogok berkenaan.
Beberapa pemandu bas yang tidak berpuas hati juga dilaporkan sudah pulang manakala sebahagian kecil bersetuju untuk meneruskan perjalanan kira-kira 10.30 pagi tadi.
Sementara itu, pemeriksaan di laman Facebook syarikat bas berkenaan mendapati tiada sebarang notis mengenai isu perjalanan bas ke Singapura yang terjejas hari ini dimuat naik, setakat ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.