Pemaju Forest City sangkal pembangunan projek terjejas akibat perselisihan dengan China
Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) hari ini (12 Sep) menjelaskan Forest City menyaksikan peningkatan pembeli dari Singapura dan Malaysia yang ketara hasil daripada usaha pemasaran.
KUALA LUMPUR: Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) hari ini (12 Sep) menjelaskan Forest City menyaksikan peningkatan pembeli dari Singapura dan Malaysia yang ketara hasil daripada usaha pemasaran.
Menurut syarikat itu, usaha pemasaran turut menyasarkan negara lain seperti Hong Kong, Macau, Taiwan, Singapura, Indonesia, Thailand, Laos, Myanmar, Filipina, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jepun.
“Asas pelanggan kami setakat ini adalah pelbagai dan hampir kepada 30 negara. Kami menjangkakan representasi pembeli rumah dan pelabur akan meningkat dengan ketara dalam masa terdekat,” katanya.
CGPV menambah, artikel dalam The Washington Post sebelum ini memetik kenyataan daripada seorang pegawai syarikat yang bukan jurucakap rasminya. Ia merujuk kepada artikel pada 10 September lalu yang menyatakan pembangunan Forest City terperangkap dalam perselisihan antara China dengan negara-negara jirannya.
“Kami terkejut The Washington Post tidak memberikan CGPV hak pertama untuk mengulas mengenai perkara sensitif yang dibangkitkan dalam artikel itu.
“CGPV terbuka untuk berbincang dengan The Washington Post bagi memberi penjelasan mengenai perkara itu atau mengesahkan sebarang maklumat yang diperoleh oleh wartawannya,” menurut CGPV.
CGPV turut menjelaskan Shattuck-St. Mary’s Forest City International School yang baru dibuka mempunyai keupayaan untuk menampung 1,000 pelajar.
“Jumlah itu adalah sasaran untuk tempoh tiga hingga lima tahun berdasarkan bermulanya sekolah itu pada Ogos 2018.”
CGPV adalah usaha sama antara Country Garden Holdings, syarikat pembangunan hartanah yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong, dengan rakan kongsi tempatan di Johor.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.