Skip to main content

Dunia

Pemain Iran kekalkan tumpuan dalam Piala Asia meski bimbang keadaan keluarga di tanah air

Anggaran Waktu Membaca:
 Pemain Iran kekalkan tumpuan dalam Piala Asia meski bimbang keadaan keluarga di tanah air
Sara Didar dari Iran semasa perlawanan Kumpulan A Piala Asia Wanita AFC antara Korea Selatan dan Iran di Robina Stadium, Gold Coast, Australia, pada 2 Mac 2026. (Gambar: AAP/Dave Hunt melalui REUTERS)
 
Diterbitkan : 04 Mar 2026 06:43PM Dikemas Kini : 04 Mar 2026 06:44PM
GOLD COAST: Pemain Iran, Sara Didar, menahan air matanya apabila wartawan bertanya tentang konflik ketenteraan yang semakin memuncak di negaranya.

Ini sedang jurulatih Marziyeh Jafari berkata para pemain berusaha sebaik mungkin untuk menumpukan perhatian pada kempen Piala Asia Wanita meskipun risau tentang keluarga mereka di tanah air.

Konflik tersebut tercetus selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran hujung minggu lalu, yang mengakibatkan pemimpin ulung Republik Islam, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh.

Iran kemudian melancarkan peluru berpandu ke negara-negara di Semenanjung Arab menyusuli berita itu.

“Sudah tentu kami semua bimbang dan sedih dengan apa yang berlaku kepada Iran dan keluarga kami di Iran serta orang tersayang, tetapi saya benar-benar berharap ini membawa berita baik untuk negara kami, dan saya harap negara saya tetap kuat dan terus hidup,” kata Didar, 21 tahun, pada Rabu (4 Mac).

Iran kalah 3-0 kepada Korea Selatan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A pada Isnin dan akan menentang tuan rumah Australia pada Khamis di Stadium Gold Coast.

Pemain tengah Australia, Amy Sayer, sebelum ini memuji keberanian pemain Iran yang terus bertanding dalam kejohanan itu walaupun tanah air mereka berdepan pergolakan politik dan serangan ketenteraan.

Jurulatih Iran berkata pasukannya mahu membanggakan penyokong Iran-Australia mereka.

“Kami sangat risau mengenai keluarga dan rakyat di Iran,” katanya.

“Tiada siapa yang suka perang… tetapi di sini, kami datang untuk bermain bola sepak secara profesional dan kami lakukan yang terbaik untuk menumpukan pada bola sepak dan perlawanan yang bakal datang.”

“Penyokong Iran-Australia di sini menyokong kami, kami sangat gembira mempunyai negara yang bersatu dan menyokong kami, dan kami benar-benar menyayangi mereka juga.

"Kami akan lakukan yang terbaik untuk membanggakan mereka.”
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita