Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemain industri pakej haji di M'sia harap kuota jemaah haji ditambah

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Pemain industri pakej haji di Malaysia berharap kerajaan Arab Saudi dapat menambah kuota untuk rakyat mereka mengerjakan ibadah haji di negara itu melebihi 32,000 jemaah sebelum ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, ini kerana sejak 2019, tiada kemasukan jemaah haji dibenarkan ke Tanah Haram ekoran pandemik COVID-19. 

“Tahun ini diharapkan ada dan disertai dengan penambahan kuota sedia ada (32,000). Itulah harapan semua orang. Pemain industri berkenaan pakej haji dan umrah terasa (impak) ketiadaan jemaah selama tiga tahun iaitu pada 2020, 2021 dan tahun ini.

“Jika sudah tiga tahun tertunggak yang melibatkan jumlah lebih kurang 90,000 jemaah dan jika kuota 32,000 seperti biasa (sebelum COVID-19) maka ramai lagi akan tertunda dan lambat untuk menyelesaikan tunggakan jemaah,” katanya kepada wartawan pada Ahad (27 Mac).

Encik Ahmad Ruzman berkata demikian pada sesi taklimat agensi pelancongan umrah dan haji negara oleh Kementerian Luar Arab Saudi di Malaysia pada Ahad (27 Mac). 

Taklimat tersebut melibatkan pengenalan aplikasi baru yang akan dilancarkan hari ini (28 Mac) bagi memudahkan proses jemaah umrah dan haji serta mempercepatkan operasi Imigresen Arab Saudi di Jeddah dan Madinah serta Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.

Encik Ahmad Ruzman berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad kini sedang berada di Arab Saudi untuk lawatan kerja dan berharap dapat membawa pulang berita baik kepada jemaah negara.

Mengenai sesi taklimat melibatkan 106 agensi umrah dan haji Malaysia, Encik Ahmad Ruzman berkata ia diadakan bagi memudah cara pengendalian jemaah yang akan berkunjung ke Arab Saudi untuk ibadat umrah atau haji.

Beliau berkata dengan pengenalan aplikasi tersebut, syarikat yang terlibat dengan umrah dan haji akan dapat memanfaatkannya dan menambah baik pengendalian jemaah Malaysia sedia ada.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan