Pemain bola sepak Thai maut disambar petir ketika beraksi; rakyat Malaysia antara 12 cedera
Tangkap layar video tular menunjukkan kejadian di Stadium Santiphap di Sungai Golok, selatan Thailand. (Gambar: Facebook/Abdul Basir Chepor)
Kejadian berlaku sekitar 5.30 petang waktu tempatan pada Selasa ketika hujan lebat semasa perlawanan separuh akhir kejohanan bola sepak Piala FA Golok di Stadium Santiphap.
Menurut Ketua Polis Sungai Golok Thun Sirikhunt, perlawanan itu melibatkan Abu x Nong Sirin dan SAMCOLT, sebuah pasukan campuran yang terdiri daripada para pemain Thailand dan Malaysia.
Kejohanan itu turut disertai pasukan Malaysia, termasuk Kelantan FC.
Sungai Golok terletak berhampiran sempadan Thailand dengan negeri Kelantan.
Pemain yang maut dikenal pasti sebagai Sofwan Awae, 24 tahun, pemain sayap kelab separa profesional Yala FC yang beraksi dalam divisyen tiga.
Beliau pernah bermain untuk Pattani FC dan baru menyertai Yala FC beberapa hari sebelum kejadian.
Polis Thailand menerima panggilan kecemasan sekitar 5.30 petang dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui Sofwan dalam keadaan kritikal.
"Walaupun pasukan perubatan kecemasan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkannya, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah dalam kejadian itu," kata Encik Thun seperti dipetik Bernama.
Pemain yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Golok untuk mendapatkan rawatan.
Yala FC dan Persatuan Bola Sepak Thailand menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Sofwan.
"Persatuan turut berdukacita atas kehilangan ini dan menyampaikan takziah kepada keluarga, pihak yang terlibat serta kelab bola sepak dalam saat yang menyedihkan ini," menurut Persatuan Bola Sepak Thailand.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.