Peluru hidup ditemui di Lapangan Terbang Incheon

Para penumpang menunggu giliran mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di barat Seoul pada 14 Mac 2023. (Gambar: Yonhap)
INCHEON: Sebutir peluru hidup ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di barat Seoul pada Khamis (16 Mac), hanya seminggu selepas dua peluru hidup ditemui dalam sebuah kapal terbang.
Penemuan itu menyebabkan penumpang dalam pesawat Korean Air dipindahkan dan keberangkatannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon ditunda.
Polis lapangan terbang menyatakan, pihaknya menerima laporan pada pukul 4.23 petang bahawa peluru ditemui di dewan keberangkatan di tingkat tiga Terminal 1, lapor agensi berita Yonhap.
Ia ditemui oleh seorang pekerja pembersihan semasa mengasing-asingkan sampah, menurut polis berkenaan.
Pihak berkuasa melakukan pemeriksaan di kawasan tersebut, tetapi tiada lagi peluru ditemui. Peluru itu akan dihantar ke Pejabat Forensik Nasional bagi pemeriksaan, menurut polis.
Jumaat lalu (10 Mac), dua peluru hidup ditemui dalam pesawat Korean Airlines sebelum ia berangkat dari lapangan terbang tersebut menuju ke Manila, menyebabkan kesemua 230 penumpang dan anak kapal dipindahkan.
Pesawat itu berlepas lewat dari Incheon selepas ditunda selama hampir empat jam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.