Skip to main content

Dunia

Peluncur air cedera parah diserang jerung

Seorang peluncur air cedera parah diserang jerung di perairan timur Australia, menurut pihak berkuasa dalam insiden terbaru siri serangan ikan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Peluncur air cedera parah diserang jerung

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 09 Dec 2018 04:51PM Dikemas Kini : 09 Dec 2018 04:54PM

SYDNEY: Seorang peluncur air cedera parah diserang jerung di perairan timur Australia, menurut pihak berkuasa dalam insiden terbaru siri serangan ikan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Mangsa berusia 36 tahun sedang meluncur dekat Pantai Scotts Head, kira-kira 490 kilometer di utara Sydney pada waktu pagi apabila digigit jerung, lapor polis New South Wales (NSW).

“Lelaki itu cedera parah di bahagian bawah lutut kaki kanan," kata jurucakap ambulans NSW. "Dia mengalami lima liang luka yang dalam dan kehilangan banyak darah.”

Pasukan menyelamat Surf Life Saving NSW berkata, mangsa sedang berada di dalam air bersama beberapa peluncur lain apabila tiba-tiba hilang.

“Seorang daripada mereka melihat beliau tenggelam bersama kocakan air dan melihat mangsa mengangkat tangan sebagai isyarat mengalami masalah,” kata jurucakap Surf Life Saving, Donna Wishart kepada stesen televisyen negara ABC.

Lelaki itu diterbangkan ke hospital dalam keadaan parah.

Para pegawai berkata tidak dapat dipastikan jenis jerung yang terlubat dalam serangan tersebut.

Ia adalah yang kelapan berlaku di pantai Australia dalam tempoh tiga bulan, di tengah-tengah perdebatan awam mengenai cara terbaik untuk mengurangkan pertembungan antara jerung dan pengunjung pantai yang bertambah menggunakan laut untuk beriadah.

New South Wales, negeri paling padat penduduk di Australia sudah mencuba pelbagai kaedah yang tidak menyebabkan kematian seperti menggunakan dron untuk mengesan pergerakan jerung serta barisan tong 'bijak' yang akan memaklumkan pihak berkuasa tentang kehadiran ikan tersebut. 

Sumber : AFP/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita