Skip to main content

Dunia

Pelukis 'Kids On Bicycle' saman AirAsia guna karya tanpa kebenaran

Anggaran Waktu Membaca:
Pelukis 'Kids On Bicycle' saman AirAsia guna karya tanpa kebenaran
Mural ikonik tersebut dicat semula oleh pelukis Ernest Zacharevic pada 2024. (Gambar: Bernama)
 
KUALA LUMPUR: Pelukis mural terkenal dari Lithuania, Ernest Zacharevic memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Isnin (9 Feb), terhadap AirAsia Berhad, yang mendakwa syarikat penerbangan itu menggunakan karya seni ikoniknya, “Kids on Bicycle”, tanpa kebenaran pada pesawat AirAsia pada 2024.

Encik Zacharevic, yang merupakan pemilik hak cipta karya tersebut, menamakan AirAsia Berhad dan syarikat induknya, Capital A Berhad, sebagai defendan pertama dan kedua.

Pelukis yang berpangkalan di Pulau Pinang itu mendakwa pada Oktober 2024, beliau mendapati karyanya dilukis semula pada pesawat AirAsia, yang kemudiannya dipamerkan secara terbuka ketika pesawat tersebut beroperasi.

Menurut plaintif, defendan menyalin, mempamer, dan mengubah suai karya seni itu tanpa pengetahuannya, lesen mahupun kebenaran.

Beliau juga mendakwa penggunaan karya tersebut bukanlah kejadian terpencil, malah terdapat corak penggunaan tanpa kebenaran oleh defendan dan pihak berkaitan dalam pelbagai kempen promosi dan pengiklanan sejak 2016.

Karya itu merupakan salah satu mural Encik Zacharevic di Georgetown, Pulau Pinang, yang menurutnya dilukis pada 2012. Mural ikonik tersebut dicat semula pada 2024.

Encik Zacharevic memohon mahkamah memberikan perintah terhadap dakwaan pelanggaran hak cipta dan hak moralnya, serta kesalahan peniruan dan campur tangan tidak sah dalam perniagaannya.

Antara yang dimohon termasuk pengisytiharan haknya sebagai pelukis, perintah larangan terhadap penggunaan karya tanpa kebenaran, serta arahan supaya bahan yang melanggar hak cipta dipadam dan dimusnahkan.

Beliau juga menuntut pampasan kewangan yang setimpal.

Encik Zacharevic diwakili peguam, Joachim Francis Xavier.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita