Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelita buluh Melaka 'menyala' hingga ke S'pura Ramadan ini

Anggaran Waktu Membaca:

ALOR GAJAH: Tebang buluh di Melaka, menyala di Singapura dan Brunei!

Siapa sangka buluh yang tidak dipandang orang rupa-rupanya boleh bertukar menjadi rezeki.

Hanya bermula sebagai hobi, Nazri Md Yusoff, 41 tahun, dan isterinya, Kamsiah Khamis, 38 tahun, tidak pernah menduga perniagaan pelita buluh yang diusahakan mereka menawarkan rezeki setiap kali Ramadan menjelma, lapor Astro AWANI. 

Asalnya, pelita buluh itu dijadikan sebagai perhiasan di sekitar kedai makan mereka di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di Alor Gajah sejak tahun 2014.

Namun kini, berikutan permintaan daripada orang ramai, suami isteri itu mampu meraih jualan puluhan ribu ringgit.

Nilai jualan itu berjaya diraih dengan sambutan pelanggan dari dalam dan luar negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menceritakan hal itu, Nazri berkata, dengan harga serendah RM15 (S$4.84) sebatang pelita buluh sepanjang lima kaki itu, pasangan tersebut mampu menjual lebih 1,000 batang dalam tempoh sebulan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Hanya menggunakan platform Facebook untuk meuar-uarkan perniagaan mereka dahulu, kini mereka juga sudah mempunyai beberapa ejen di seluruh negara, menurut Astro AWANI. 

Berbeza dengan tahun sebelum ini, mereka memperkenalkan tiga pilihan pelita buluh iaitu pelita panjut biasa yang menggunakan minyak gas, pelita bertingkat dan inovasi terbaru idea mereka iaitu ‘pelita LED’ yang menggunakan bateri.

“Tahun ini Alhamdulillah jualan sangat memberangsangkan kerana kita ada tiga jenis pelita buluh dengan satu inovasi terbaru kami iaitu menggunakan lampu LED yang menggunakan bateri saja.

“Lagi dua jenis itu ialah pelita panjut yang menggunakan sumbu biasa dan tahun ini juga kita jual pelita bertingkat yang mana setiap satu pelita buluh mengambil masa antara 15 minit hingga setengah jam untuk disiapkan,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui.

Secara peribadi, Nazri berkata, keunikan pelita panjut buatan mereka menyebabkan permintaan bagi produk itu semakin meningkat saban tahun.

Sementara itu, isterinya, Kamsiah berkata, pada peringkat awal pasaran, pelita buluh yang dihasilkan mereka hanya dibeli oleh masyarakat di sekitar Melaka sahaja.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, mereka turut menerima tempahan dari Kuala Lumpur, Kedah, Johor, Singapura dan Brunei.

Jelasnya lagi, disebabkan kekangan tenaga kerja, dia dan suami menggunakan sepenuh kudrat mereka untuk menebang buluh di kawasan hutan berhampiran dengan izin pemilik tanah.

Katanya, beliau dan suami memulakan kerja-kerja membuat pelita itu seawal jam 8.00 pagi sehingga 6.00 petang setiap hari dan mampu menyiapkan kira-kira 50 batang pelita.

“Setakat ni untuk seminggu sebelum puasa sampai sekarang ni kita sudah kirim ke Brunei dan Singapura. Alhamdulillah maklum balas pelanggan memang puas hati lebih-lebih lagi dengan pelita terbaru jenis LED ini.

“Mula-mula kami cuba-cuba sahaja pasang sendiri dan letak di kedai makan kami, tak sangka pula ramai yang minat dan kami pun buat keputusan buka juga untuk jualan,” jelasnya lagi.

Tambah Kamsiah, sambutan tahun ini ternyata luar biasa memandangkan baru beberapa hari Ramadan mereka sudah menerima tempahan hampir 1,000 batang pelita buluh.

Katanya, beliau percaya tempahan itu akan meningkat lagi pada 10 malam terakhir Ramadan kelak.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan