Skip to main content

Dunia

Pelibatan berterusan Australia dengan ASEAN penting bagi kestabilan serantau: PM Lee

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menggesa Australia supaya terus mendampingi ASEAN demi mengekalkan kestabilan di rantau ini, sedang kedua-dua pihak melakarkan fasa hubungan seterusnya.

Anggaran Waktu Membaca:
MELBOURNE: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menggesa Australia supaya terus mendampingi ASEAN demi mengekalkan kestabilan di rantau ini, sedang kedua-dua pihak melakarkan fasa hubungan seterusnya.

Australia sudah menjalin hubungan dengan blok itu sejak 1974 dan merupakan rakan dialog yang pertama dan paling lama.

Selain mengukuhkan kerjasama dalam bidang-bidang seperti perdagangan, pelaburan dan tenaga bersih, Australia juga menyalurkan lebih banyak dana bagi kerjasama maritim.

PERTINGKAT KERJASAMA SERANTAU

PM Lee memberitahu para pemimpin di Sidang Puncak Khas ASEAN-Australia di Melbourne baru-baru ini bahawa pelibatan sedemikian dialu-alukan.

"Kami menganggap mereka sebagai bernilai kerana dari segi ekonomi, mereka adalah rakan. Secara strategik, mereka dekat dengan Amerika Syarikat dan adalah sekutu kepada Amerika Syarikat," katanya kepada media pada Rabu (6 Mac).

"Dan dengan adanya mereka sebagai sebahagian daripada kerjasama serantau kami dapat membantu memastikan rantau ini terbuka dan melibatkan lebih banyak pihak yang berminat dalam kestabilan dan kemakmuran Asia."

Australia juga boleh memainkan peranan penting di Sidang Puncak Timur Asia, iaitu sebuah forum pimpinan ASEAN yang terdiri daripada negara-negara utama dan sebuah wadah inklusif untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan rantau ini.

PM Lee menggesa supaya forum itu, yang melibatkan rakan-rakan seperti China dan Amerika Syarikat supaya diperkukuhkan untuk mengelakkan sebarang persaingan kuasa besar di rantau ini.

Dengan berbuat demikian, PM Lee berkata ia akan mengurangkan risiko ia "berkembang menjadi konflik terbuka".

Negara anggota ASEAN bekerjasama dalam bidang dengan kepentingan bersama walaupun mereka mempunyai situasi dan pandangan strategik yang berbeza.

PM Lee memberitahu para pemimpin di sidang puncak khas itu bahawa ia memang matlamat jangka panjang blok tersebut.

Berucap kepada para wartawan, PM Lee berkata Australia berada di kedudukan baik untuk melengkapkan usaha itu.

"Ia menjejas mereka kerana terdapat banyak perniagaan di rantau ini. Ia menjejas keselamatan mereka," kata PM Lee.

"Kerana jika ada yang tidak kena di Asia Tenggara atau di Asia, ia akan menjejas Australia dan ia adalah kawasan yang dilalui oleh banyak perdagangan mereka."

ASEAN BERDEPAN PELBAGAI CABARAN

Pertemuan antara para pemimpin negara-negara serantau itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang meningkat di Laut China Selatan.

Filipina dan China terlibat dalam pertikaian maritim selepas kejadian pertembungan kapal menyebabkan beberapa anak kapal Filipina cedera.

Namun ia bukan satu-satunya cabaran yang dihadapi oleh ASEAN.

Di Myanmar, tentera negara itu sedang melakukan persiapan untuk mengerahkan kumpulan pertama askar-askar kerahan pada April, selepas ia menguatkuasakan akta pendaftaran tentera yang lama tidak diaktifkan pada Februari lalu.

Namun ramai pengamat khuatir bahawa langkah itu akan mencetuskan gelombang keganasan baharu, di samping konflik yang sedang berlaku di negara itu.

Sementara itu, pendirian ASEAN adalah untuk berpegang kepada Konsensus Lima Perkara, iaitu sebuah pelan perdamaian dengan tentera Myanmar untuk menghuraikan krisis. Para pemimpin ASEAN sebulat suara bersetuju dengannya dalam satu mesyuarat pada April 2021.

SERUAN BAGI SEKATAN DI LAUT CHINA SELATAN

Pada Rabu, Australia dan ASEAN menggulung sidang puncak selama tiga hari sempena kerjasama selama 50 tahun.

Semasa pertemuan itu, para pemimpin menyeru bagi sekatan di Laut China Selatan dan gencatan senjata untuk tempoh lama dikuatkuasakan di Carikan Gaza.

Ini selepas beberapa anggota ASEAN termasuk Indonesia, Malaysia dan Filipina mempunyai tuntutan bertindih dengan China berhubung sebahagian Laut China Selatan.

Satu kenyataan bersama menyeru bagi perintah berasaskan peraturan dilaksanakan di Indo Pasifik, sambil menggesa negara-negara supaya elakkan sebarang tindakan sepihak sahaja yang boleh mengancam perdamaian.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata: "Saya sangat prihatin dan Australia prihatin terhadap sebarang tindakan tidak selamat dan menjejas kestabilan di Laut China Selatan.

"Ia berbahaya dan ia menimbulkan risiko salah kira yang kemudian membawa kepada peningkatkan ketegangan.

"Jadi kami akan memanggil sejumlah negara yang ditekankan dalam kenyataan mereka, dokumen asasnya adalah UNCLOS iaitu Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut, iaitu sesuatu yang harus dijadikan bimbingan bagi penyertaan setiap negara."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita