Skip to main content

Dunia

Peletakan jawatan Ahmad Zahid tidak akan selesaikan masalah, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Peletakan jawatan Ahmad Zahid tidak akan selesaikan masalah, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Puad Zarkashi (kiri) dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yasin (kanan).

PETALING JAYA: Seorang pemimpin UMNO menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yasin sebagai bersifat angkuh apabila mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan susulan keputusan PRN di enam negeri pada Sabtu lalu (12 Ogos).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi, berkata Encik Muhyiddin sebaliknya tidak pula melakukan perkara itu ketika PN mengalami kekalahan teruk di Melaka dan Johor.

Menurutnya, desakan agar Encik Zahid yang juga presiden UMNO meletak jawatan bukanlah satu penyelesaian tetapi beban yang perlu dipikul bersama, menurut Free Malaysia Today.
“Jangan menuding jari. Ia beban bersama. Mendesak Zahid letak jawatan bukan penyelesaian. Semua bertanggungjawab.

“Muhyiddin angkuh bila suruh Zahid letak jawatan. Bila PN kalah teruk di Melaka dan Johor dia tidak letak jawatan. Dia kekal presiden Bersatu sedangkan dia kluster mahkamah,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin (14 Ogos), lapor Free Malaysia Today.

Pada PRN itu, UMNO mencatatkan prestasi buruk apabila hanya menang 19 daripada 108 kerusi ditandinginya.

BN hanya menang dua kerusi di Selangor (Sungai Air Tawar dan Dusun Tua); Kelantan (Galas), dan Pulau Pinang (Bertam dan Sungai Acheh), sementara Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin “rebah” di Gombak Setia.

Di Terengganu, semua calonnya tewas termasuk dua mantan menteri besar Ahmad Said dan Ahmad Razif Abdul Rahman.

Selain itu, Encik Puad berkata, UMNO kini perlu mendapatkan semula sokongan orang Melayu.

“Menteri-menteri UMNO mesti serius menjayakan agenda Melayu dan rakyat. Kuasa di tangan mereka.

“Sebab itu UMNO mesti kekal dalam kerajaan perpaduan. PH-BN perlu mengukuhkan kerjasama. Ahmad Zahid sesuai pikul misi ini. Dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah,” katanya, dipetik daripada Free Malaysia Today.

Selain Encik Zahid, Encik Muhyiddin kelmarin juga mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletak jawatan serta-merta susulan penolakan pengundi Melayu dalam PRN itu.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita