Pelepasan akibat kebakaran hutan Indonesia melonjak ke paras tertinggi dunia
Indonesia berdepan lonjakan pelepasan gas akibat kebakaran hutan yang melanda kawasan hutan dan tanah gambut yang kering di pulau Borneo dan Sumatra, dengan bacaan karbon dioksida ketika ini merupakan yang tertinggi di dunia, menurut data pada Rabu (9 Sep).
Anggota bomba menyembur air bagi memadamkan kebakaran hutan di Palembang, Sumatra Selatan, Indonesia, pada 8 September 2026. (Gambar: Reuters/Abriansyah Liberto)
- Indonesia mengalami lonjakan pelepasan karbon dioksida akibat kebakaran hutan di Kalimantan, Sumatra dan Papua Selatan, dengan bacaan tertinggi di dunia pada awal September.
- Fenomena El Nino menyebabkan suhu tinggi dan kemarau, menjadikan musim kebakaran kali ini paling teruk dalam 11 tahun.
- Kementerian Lingkungan Hidup Indonesia memandang serius isu mutu udara berbahaya, namun menegaskan data satelit tidak menggambarkan keadaan sebenar sepenuhnya.
- Kebakaran dan pelepasan dijangka terus meningkat hingga akhir Oktober, dengan kawasan seperti Pontianak mencatat indeks mutu udara berbahaya.
Pelepasan akibat kebakaran hutan di Indonesia dari 1 hingga 7 September membawa kepada jumlah 19.7 juta tan metrik, mengatasi Rusia dan membentuk lebih satu pertiga daripada jumlah global, menurut platform Fire Emissions Watch yang dibangunkan khidmat pemantauan iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU).
Fenomena El Nino yang ekstrem membawa suhu lebih tinggi dan kemarau teruk, menyebabkan Indonesia berdepan musim kebakaran hutan paling sengit dalam 11 tahun.
Seorang saintis kanan di Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernicus, Mark Parrington, berkata keadaan yang lebih panas dan kering menyebabkan kebakaran menjadi lebih ekstrem apabila tercetus.
Data Copernicus menunjukkan keamatan atau intensiti pelepasan akibat kebakaran dari 1 hingga 7 September melebihi 1,500 kilogram bagi setiap kilometer persegi, iaitu lebih 10 kali ganda berbanding Rusia.
Kalimantan dan bahagian timur Sumatra mencatat kepekatan tertinggi.
Pelepasan itu 273 peratus lebih tinggi daripada purata bermusim, namun masih di bawah 21.7 juta tan metrik yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2015, ketika Indonesia turut berdepan keadaan El Nino yang sengit.
Pontianak antara kawasan paling teruk terjejas. Indeks Mutu Udara (AQI) di bandar itu mencecah 394 pada Rabu (9 Sep), menurut syarikat pemantauan mutu udara Switzerland, IQAir.
Bacaan AQI melebihi 300 dianggap berbahaya.
Kementerian Lingkungan Hidup Indonesia menyatakan pihaknya memandang serius bacaan mutu udara berbahaya di Kalimantan dan kawasan lain.
Namun, kementerian itu menegaskan bahawa data Copernicus tidak mencerminkan keadaan mutu udara di sesuatu kawasan secara langsung kerana faktor lain juga perlu diambil kira.
"DI BAWAH HAD PENGESANAN"
Dari Januari hingga Julai tahun ini, kebakaran melibatkan sekitar 202,000 hektar tanah di Indonesia, kira-kira satu pertiga daripada keluasan dalam tempoh sama pada 2015.
Data Ogos pula dianggarkan menunjukkan peningkatan ketara sekitar 600,000 hektar, khususnya di Kalimantan, Sumatra dan Papua Selatan.
Jumlah tapak kebakaran yang direkodkan dari 1 Ogos hingga 8 September mencecah 13,443, berbanding 9,454 dalam tempoh sama pada 2015, menurut platform pemantauan Kementerian Kehutanan Indonesia, Sipongi.
Encik Parrington berkata kebakaran tanah gambut yang berlaku pada suhu rendah atau di bawah tanah mungkin berada di bawah had pengesanan sensor satelit, sekali gus berkemungkinan menyebabkan skala sebenar masalah itu dipandang rendah.
Beliau menambah, kebakaran dan pelepasan dijangka terus meningkat sehingga akhir Oktober.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.