Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelepasan air Fukushima penuhi piawai antarabangsa jika dilaksana seperti dirancang

Anggaran Waktu Membaca:
Pelepasan air Fukushima penuhi piawai antarabangsa jika dilaksana seperti dirancang

Loji Fukushima, Jepun. (Gambar fail: Kim Kyung-Hoon/Reuters)

SEOUL: Rancangan pelepasan air terawat dari loji Fukushima, Jepun yang ditetapkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memenuhi piawaian antarabangsa jika dilaksanakan seperti yang dirancang, menurut Korea Selatan.

Korea Selatan mengumumkan analisis saintifiknya mengenai pelan pelepasan berdasarkan pemeriksaan di tapak loji yang disiapkan pada akhir Mei dan data-data lain yang berkaitan, termasuk analisis semakan keselamatan IAEA, lapor Agensi Berita Yonhap.

Menurut simulasi berdasarkan piawaian pelepasan yang ditetapkan oleh Tokyo Electric Power Co., iaitu pengendali loji terbabit, kesan radiasi di pantai Korea Selatan dianggarkan hanya mencapai kira-kira satu per 100,000 daripada paras semasa.

Kerajaan turut menyatakan bahawa teknologi sistem penulenan khas loji yang dikenali sebagai ALPS, sudah bertambah baik dan stabil secara beransur-ansur, menyebabkan paras radionuklid berada pada had yang dibenarkan sejak pertengahan 2019.

Sebelum ini, kerajaan Seoul melaporkan bahawa enam jenis radionuklid dikesan berada pada tahap melebihi had yang dibenarkan walaupun selepas rawatan melalui ALPS, tetapi kebanyakan kes ini berlaku sebelum 2019.

"Semakan dilakukan dengan mengambil kira sekiranya pelan pelepasan Tokyo Electric Power dijalankan seperti yang dirancang," menurut Menteri Penyelarasan Dasar Korea Selatan Bang Moon Kyu pada taklimat harian.

Negara itu juga menekankan penghargaan terhadap hasil semakan keselamatan IAEA terhadap rancangan Jepun.

Pada Selasa (4 Jul), badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengumumkan bahawa semakan selama dua tahunnya mendapati rancangan Jepun untuk mengalirkan air dari loji itu ke laut adalah konsisten dengan piawaian keselamatannya.
Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan