Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelepah kelapa masih dianggap benteng berkesan lindungi rumah daripada tiupan angin kencang

Seorang nelayan di Kampung Jambu Bongkok di Marang masih mengekalkan kaedah tradisional menggunakan pelepah kelapa sebagai penghadang dalam ikhtiar melindungi rumahnya daripada tiupan angin kencang.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelepah kelapa masih dianggap benteng berkesan lindungi rumah daripada tiupan angin kencang

Encik Salleh Daud mencari pelepah kelapa untuk dipasang di pekarangan rumahnya sebagai benteng bagi menghalang angin kencang meniup rumahnya di Kampung Jambu Bongkok. (Gambar: BERNAMA)

MARANG: Seorang nelayan di Kampung Jambu Bongkok di Marang masih mengekalkan kaedah tradisional menggunakan pelepah kelapa sebagai penghadang dalam ikhtiar melindungi rumahnya daripada tiupan angin kencang.

Salleh Daud, 61 tahun, berkata kaedah tersebut sudah lama digunakan oleh generasi zaman dahulu setiap kali tiba musim tengkujuh kerana kebanyakan struktur rumah ketika itu diperbuat daripada kayu.

"Sekarang struktur rumah semakin kukuh diperbuat daripada simen dan bata, jadi tidak terancam dengan tiupan angin kencang. Namun, saya masih mengekalkan kaedah ini kerana sangat murah, mesra alam sekitar dan berkesan," terang beliau.

"Biasanya, saya akan mula mengumpulkan pelepah kelapa ini seawal Oktober dari tepi pantai berdekatan sahaja...ikat kuat dan dirikan ia sebagai pagar di bahagian depan rumah yang terdedah dengan angin pantai. Alhamdulillah, dapat mengurangkan impak angin kencang," katanya ketika ditemui wartawan.

Kebiasaannya, pelepah kelapa itu akan dibuang sebaik sahaja musim tengkujuh berakhir dan ditukar setiap tahun bagi memastikan ‘penghadang angin’ tersebut dapat berfungsi pada kadar optimum.

Bapa kepada lapan anak itu berkata beliau turut membantu memasang pelepah kelapa di rumah ibu mentuanya, Dijah Deraman, 80 tahun, yang terletak berhampiran.

"Sebenarnya banyak lagi kaedah orang zaman dahulu yang masih boleh digunakan kerana ia terbukti sangat berkesan, cuma perlukan sedikit usaha serta kerajinan seperti mengumpulkan sendiri pelepah kelapa dan kayu untuk mengukuhkannya.

"Secara tidak langsung, persekitaran pantai pun jadi bersih kerana pelepah kelapa yang jatuh itu kita bawa ke rumah untuk jadikan penghadang angin," ujarnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan