Pelawat masuk M'sia dinasihat sediakan dokumen lengkap demi kelancaran perjalanan

(Gambar: BERNAMA)
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menasihatkan semua pelawat yang akan memasuki negara tersebut menerusi pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri supaya menyediakan dokumen perjalanan lengkap bagi memastikan kelancaran perjalanan ketika cuti umum sempena sambutan Deepavali.
Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata dokumen perjalanan itu termasuk pasport dan visa bagi negara yang memerlukan selain mereka perlu memastikan dokumen tersebut masih dalam tempoh sah laku supaya tidak menimbulkan masalah ketika pemeriksaan dan mengelak kemasukan ditolak.
Beliau berkata demikian kerana pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan mendadak kemasukan pelawat dari Singapura melalui kedua-dua pintu masuk berkenaan sempena cuti umum perayaan Deepavali pada Isnin (24 Okt).
"Pelawat yang memasuki Malaysia khususnya melalui pintu masuk BSI dan KSAB juga diminta supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selain JIM supaya proses pemeriksaan dokumen berjalan lancar.
"Jabatan juga memohon kerjasama daripada ejen-ejen pelancongan untuk mengemukakan lebih awal senarai pelawat dan jumlah bas pelancongan seperti yang dipersetujui dalam sesi libat urus pada 12 Oktober lalu di KSAB. Kerjasama semua pihak dapat membantu mempercepat proses kemasukan," katanya dalam kenyataan pada Ahad (23 Okt).
Encik Khairul Dzaimee berkata JIM akan terus memastikan pembukaan kaunter manual, laluan pagar automatik dan laluan motosikal MBike dapat beroperasi pada tahap optimum.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.