Pelawat akan dikenakan bayaran 300 baht apabila masuk Thailand melalui jalan udara
Pantai Patong di Phuket, Thailand (Gambar: Lillian Suwanrumpha/AFP)
BANGKOK: Kabinet Thailand meluluskan saranan oleh Jawatankuasa Dasar Pelancongan Nasional untuk mengenakan yuran wisata sebanyak 300 baht (S$11.66) ke atas setiap pelancong asing yang tiba di negera tersebut menerusi jalan udara.
Bagi pelancong yang tiba menerusi laluan darat atau laut, bayarannya 150 baht (S$5.83) bagi setiap seorang, kata timbalan jurucakap Pejabat Perdana Menteri, Traisulee Traisoranakul, menyusuli mesyuarat Kabinet pada Selasa (14 Feb).
Pelancong tidak perlu membuat bayaran tersebut sekiranya memegang pasport diplomatik atau passport rasmi, atau pemegang permit kerja. Pelancong yang melakukan persinggahan di negara tersebut dan kanak-kanak bawah usia dua tahun juga akan dikecualikan.
Kabinet turut memberi arahan kepada Biro Imigresen supaya menyemak semula peraturan, undang-undang dan syarat-syarat berhubung visa serta undang-undang imigresen yang berkaitan, menyusuli langkah baru untuk mengenakan bayaran tersebut.
Perubahan itu termasuk menunjukkan bukti bayaran sebagai sebahagian daripada proses imigresen.
Memetik kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, Cik Traisulee berkata, Thailand merupakan negara pertama di dunia untuk mengutip bayaran sedemikian dan pada masa yang sama, menyediakan faedah kesejahteraan bagi para pelancong, termasuk perlindungan insurans bagi kemalangan peribadi.
Tambahnya, duit yang dikumpul daripada bayaran tersebut akan membantu mengurangkan tekanan kewangan terhadap kerajaan Thailand yang membelanjakan kira-kira 300 juta (S$11.6 juta) hingga 400 juta baht (S$15.5 juta) setahun untuk menyediakan jagaan kesihatan kepada para pelancong.
Perbelanjaan lain termasuk pemuliharaan daya tarikan pelancongan, sumber sekitaran dan semula jadi yang terjejas oleh aktiviti-aktiviti pelancongan.
Bayaran pelancongan itu akan berkuat kuasa tidak lebih daripada 90 hari selepas ia diumumkan di Warta Diraja.
Lebih 11 juta ketibaan pelancong asing dicatatkan antara Januari hingga Disember 2022, setelah Thailand melonggarkan sekatan sempadan COVID-19 secara beransur-ansur mulai 2021.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-cha meluahkan keyakinan bahawa negara itu akan menyambut lebih daripada 30 juta pelancong asing tahun ini, ekoran pembukaan semula sempadan China.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.