Pelawak Manila anjur acara kumpul dana bantu pelarian Palestin di Filipina

(Gambar; Arab News)
MANILA: Para pelawak di Filipina membuat persembahan pada pertunjukan yang habis dijual pada hujung minggu lalu sebagai tanda perpaduan dengan Palestin, sedang mereka mengumpul dana untuk pelarian Palestin yang berlindung di negara itu.
Daripada 137 warga Filipina yang menetap di Gaza ketika Israel memulakan serangan ke atas wilayah itu pada Oktober, lebih 116 telah diterbangkan ke Filipina, ada yang tiba bersama dengan pasangan Palestin mereka.
Mereka dibiarkan sendirian selama beberapa hari selepas ketibaan mereka, dengan berpuluh-puluh keluarga mangsa bergelut untuk mencari tempat tinggal pada bulan lalu selepas sokongan pemerintah dihentikan.
Perumahan sementara mereka akhirnya diuruskan oleh pasukan petugas masyarakat sivil.
Perjuangan mereka menjadi nadi pengumpulan dana pada petang Sabtu, yang menyaksikan persembahan daripada sembilan bakat komedi dari Manila.
Mereka bergilir-gilir menyampaikan rutin 10 hingga 15 minit sepanjang pertunjukan selama dua jam kepada berpuluh-puluh orang di Restoran Meshwe di Quezon City, Metro Manila.
Menurut laporan Arab News, persembahan itu mendapat perhatian ramai di internet selepas ia diumumkan oleh pemilik restoran tersebut, Nathaniel Mounayer, yang mendedahkan bahawa ia habis dijual dalam masa seminggu.
Dana yang dikumpul daripada persembahan itu akan digunakan untuk membeli barangan keperluan selama sebulan untuk para pelarian Palestin di Manila, termasuk makanan asas Arab seperti minyak zaitun, zaatar dan tahini, menurut Mounayer.
Sejak Oktober, lebih 26,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 64,000 yang lain cedera apabila serangan berterusan Israel terus menyasarkan kemudahan-kemudahan kesihatan di wilayah tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.