Skip to main content

Dunia

Pelarian kanak-kanak Syria kutip sampah untuk beli roti

Di luar sebuah kem pelarian di barat laut Syria, seorang remaja lelaki 15 tahun, Sabaa al-Jassim mengais timbunan sampah dengan harapan mencari barangan lusuh untuk dijual bagi membeli makanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelarian kanak-kanak Syria kutip sampah untuk beli roti

Sabaa al-Jassim mengais timbunan sampah dengan harapan mencari barangan lusuh untuk dijual bagi membeli makanan. (Gambar: Aaref Watad/AFP)

Diterbitkan : 31 Jan 2019 10:35PM Dikemas Kini : 31 Jan 2019 11:23PM

KAFR LUSIN: Di luar sebuah kem pelarian di barat laut Syria, seorang remaja lelaki 15 tahun, Sabaa al-Jassim mengais timbunan sampah dengan harapan mencari barangan lusuh untuk dijual bagi membeli makanan.

Dengan menggunakan batang besi bercangkuk, beliau mencucuk ke dalam timbunan sampah berbau busuk dari rumah-rumah di kampung Kafr Lusin, mencari plastik untuk dijual dan mendapatkan beberapa dolar bagi menampung 11 ahli keluarganya.

“Saya ke tempat pembuangan sampah untuk menyara keluarga. Saya kutip dua beg sampah plastik sehari untuk membeli roti,” kata Sabaa yang tidak bersekolah hampir sepanjang tempoh lapan tahun perang saudara di Syria.

Bapa beliau sakit, ibunya dibebani terlalu banyak kerja rumah dan abangnya cedera. Beliau dan tiga orang adik terpaksa mencari nafkah untuk keluarga.

Daripada tiga juta penduduk di sekeliling Idlib, kira-kira separuh daripada mereka pelarian yang kehilangan tempat tinggal di bahagian lain negara yang dilanda perang itu.

Ramai bergantung kepada bantuan, namun di kem tidak formal yang mempunyai 50 keluarga di Kafr Lusin, pihak bertanggungjawab berkata, makanan sukar didapati.

Di tempat pembuangan sampah berhampiran, puluhan wanita dan kanak-kanak berkumpul di sekeliling lori sampah, ketika ia menurunkan muatan busuk.

Bapa Sabaa, Jassim berkata, beliau tidak suka menghantar anak untuk bekerja, namun keluarga beliau tiada cara lain menyara hidup.

“Apabila anak-anak saya dihantar ke tempat pembuangan sampah, saya rasa kecil dan patah semangat. Tetapi jika tidak, kami akan kebuluran,” kata lelaki 53 tahun itu di wilayah Hama, tengah Syria.

Program Makanan Dunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, kira-kira 6.5 juta orang gagal memenuhi keperluan makanan di Syria dengan kebanyakan menjadi pelarian dalam negara akibat perang. 

Sumber : AFP/EM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita