Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelantikan Tommy Thomas tidak jejas kedudukan Islam, hak Melayu, tegas Anwar

Pelantikan Encik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara tidak akan menjejas kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu di Malaysia, kata Ketua Umum Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.

Anggaran Waktu Membaca:
Pelantikan Tommy Thomas tidak jejas kedudukan Islam, hak Melayu, tegas Anwar

Gambar fail Encik Anwar Ibrahim. (Gambar: Olivia Harris/Reuters)

Diterbitkan : 06 Jun 2018 09:13AM Dikemas Kini : 06 Jun 2018 09:15AM

ALOR GAJAH: Pelantikan Encik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara tidak akan menjejas kedudukan Islam dan hak istimewa orang Melayu di Malaysia, kata Ketua Umum Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini kerana setiap individu yang dilantik sebagai Peguam Negara terikat kepada Perlembagaan Malaysia dan bertindak atas kuasa yang ada dalam perlembagaan berkenaan.

"Dia (Peguam Negara ) tidak boleh langgar (Perlembagaan Malaysia). Ini keprihatinan yang disuarakan oleh Raja-Raja Melayu dan ini keyakinan yang kita beri kepada Raja-Raja Melayu bahawa Tommy Thomas tetap menjaga kedudukan Islam dan kepentingan Melayu seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan (Malaysia).

"Yang di-Pertuan Agong (Sultan Muhammad V) tidak banyak masalah kerana baginda hanya mahu keyakinan itu (kedudukan Islam dan hak Melayu dijaga). Baginda faham hak Perdana Menteri (mencadang Peguam Negara) tetapi berkuat kuasa setelah baginda tanda tangan (pelantikan Peguam Negara)," kata beliau di sidang media semalam (5 Jun).

Sebelum itu, Encik Anwar menghadiri Majlis Moreh Bersama Rakyat di Dataran Keris yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Adly Zahari serta kira-kira 3,000 orang.

Semalam, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Encik Thomas sebagai Peguam Negara atas nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Encik Anwar berkata beliau kesal dengan tindakan pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan kerajaan Pakatan Harapan dan pihak Istana dan meminta pihak terbabit supaya menghentikan perbuatan tersebut.

"Kawan-kawan yang selalu nak laga-laga ini hentikan lah, ini bulan Ramadan, sudah-sudahlah. Ini peluang kita semua untuk membina negara dan membaiki akhlak. Mari kita sama-sama maju ke depan pikul amanah diberi rakyat untuk membina negara," kata beliau.

Sementara itu, ketika berucap di majlis tersebut, Encik Anwar berkata tanggungjawab yang diberikan rakyat kepada pemimpin Pakatan Harapan di pilihan raya umum lalu bukan satu keistimewaan. Sebaliknya ia satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Saya dan kita (pemimpin Pakatan Harapan) semua amat terhutang budi kepada rakyat Malaysia. Anwar tiada apa-apa, tiada harga dalam politik tanah air kalau tidak kerana rakyat Malaysia. Kalau begitu, kita pikul (amanah) rakyat, jaga kepentingan rakyat.

"Jaga perbelanjaan, duit. Belanja dengan cermat. Semua (pemimpin Pakatan Harapan) mesti sedar, ini amanah. Selagi ada seorang anak miskin kita bertanggungjawab membela kepentingan mereka," kata beliau.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan