Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelantikan Nurul Izzah, 'pembersihan' UMNO tidak mengejutkan dalam politik M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Tahun 2023 baru saja memasuki bulan kedua tetapi Kerajaan Perpaduan Malaysia sudahpun dihimpit dengan beberapa cabaran politik.

Dalam masa seminggu saja, dua perkembangan politik mengundang kritikan ramai rakyat negara itu.

Perkembangan yang dimaksudkan itu merujuk kepada pemecatan dan penggantungan keanggotaan lebih 40 ahli UMNO pada Jumaat (27 Jan) dan pelantikan mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan.

PELANTIKAN BERUNSUR NEPOTISME TETAPI...

Para pengamat politik memberitahu BERITAmediacorp pada Khamis (2 Feb) bahawa pelantikan Nurul Izzah selaku penasihat kanan kepada ayahnya, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dianggap berunsur nepotisme.

Mereka bagaimanapun berpendapat bahawa amalan sebegitu sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing di rantau ini.

Tambahan lagi, gejala rasuah, kronisme dan salah guna kuasa bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah politik negara tersebut.
Profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania Dr James Chin berkata pelantikan tersebut sudah dijangkakan tetapi mungkin masanya yang mengejutkan ramai warga Malaysia.

"Terdapat segolongan yang telah menjangkakan situasi ini. Lagipun, ini merupakan suatu dinasti politik. Sudah tentu, mereka akan melantik ahli keluarga mereka sendiri untuk jawatan kementerian.

"Saya rasa realitinya, apa yang dimaksudkan orang awam adalah tidak kira siapa yang dilantik, yang terutama ialah usaha antirasuah," ujar beliau.

IMEJ REFORMASI ANWAR TERJEJAS?

Pengarah Kanan badan pemikir IDEAS Malaysia Cik Aira Azhari berpendapat kritikan rakyat itu tercetus disebabkan oleh harapan rakyat terhadap politik Malaysia yang sudah berubah.

Mentelah lagi, reputasi PM Anwar sebagai seorang ikon reformasi buat sekian lama memperjuangkan ketelusan dan pembanterasan rasuah membuat rakyat mengharapkan pembaharuan pada amalan-amalan kerajaan Malaysia.

Beliau berkata: "Saya rasa pada zaman Tun Mahathir dan Najib Razak juga ada berlaku kes nepotisme sebegini. Mungkin bukan dalam bentuk yang sama. Tun Mahathir dahulu ada beberapa anak beliau masuk dalam dunia niaga dan anak-anak Najib juga ada dakwaan seperti itu. Tetapi untuk Anwar Ibrahim ini, pelantikan anaknya sendiri itu berbeza sedikit kerana itu adalah pelantikan terus dalam kementerian sebagai penasihat.

"Kita perlu ingat kemahuan rakyat berbeza daripada sebelum-sebelumnya kerana reputasi beliau sendiri iaitu seorang ikon pada zaman reformasi, seorang yang telah lama memperjuangkan ketelusan dan juga melawan rasuah, kronisme dan sebagainya. Jadi jangkaan rakyat itu berbeza. Jadi kita tak boleh samakan dengan kes-kes sebelum ini, saya rasa."
Oleh itu, Cik Aira menyarankan perubahan pada kerajaan PM Anwar seperti proses pelantikan yang lebih telus dan bertanggungjawab demi pengetahuan rakyat.

Beliau memberi contoh di Amerika Syarikat di mana terdapat sesi perbicaraan kongres atau pengesahan dewan bagi sebarang pelantikan jawatan-jawatan penting dalam pemerintah.

KRISIS UMNO BUKTI PARTI TIDAK AKAN BERUBAH

Berhubung langkah UMNO memecat dan menggantung keahlian lebih 40 anggotanya, kedua-dua pengamat juga percaya UMNO tidak akan berubah pada masa akan datang.

Malah, Dr Chin percaya UMNO akan muncul lebih jelas sebagai sebuah parti kuku besi di bawah kepimpinanan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sekarang.

Ini meskipun parti paling lama di Malaysia itu sedang menjalani pemilihan kepimpinan parti sekarang ini.

Proses pemilihan kepimpinan parti bermula Rabu (1 Feb) sehingga bulan depan.

Tumpuan kini diberikan kepada tokoh-tokoh UMNO yang ingin bertanding bagi jawatan Naib Presiden parti itu.
Ini setelah dua jawatan tertinggi - iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden - tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan UMNO kali ini.

Cik Aira berkongsi: "Dinamik dalam UMNO juga amat penting untuk kita ambil kira sebab seperti kita tahu UMNO juga parti yang rencam dan parti yang pelbagai dinamik dan juga ada bermacam-macam kem dan juga saya rasa ideologi dalam UMNO.

"Jadi saya rasa siapa yang memenangi jawatan tiga Naib Presiden itu akan, sangat penting untuk hala tuju UMNO pada masa akan datang. Jangan lupa tiga penyandang jawatan Naib Presiden itu juga mungkin akan bertanding semula untuk mempertahankan kedudukan mereka."

Sungguhpun demikian, Cik Aira menekankan rakyat Malaysia tidak boleh menjangkakan nama-nama baru atau ahli muda cuba merebut jawatan tertinggi yang dipertandingkan dalam UMNO.

Ini disebabkan budaya politik Malaysia belum lagi kondusif untuk ahli politik muda menempah nama dalam sesebuah parti, tambah beliau.

Mentelah lagi langkah memecat dan menggantung keahlian anggota, menurut Cik Aira, membuktikan UMNO belum bersedia untuk berubah.

ZAHID TIDAK ADA PILIHAN TAPI KEPUTUSANNYA WAJAR

Pengamatan itu turut disokong Dr Chin yang berpendapat siapa saja yang menjadi Naib Presiden baru UMNO nanti tidak akan membawa kesan ketara.

Beliau menambah UMNO sekarang tetap bergerak ke arah satu perubahan yang belum disaksikan sebelum ini.

"Saya fikir realitinya UMNO adalah Encik Zahid mahu membina semula UMNO tetapi beliau perlu sebuah parti yang bersatu. Namun, lebih penting lagi beliau memerlukan sebuah parti kuku besi. Beliau perlu membawa UMNO ke arah yang UMNO tidak pernah pergi iaitu bukan parti Melayu saja.

"Jadi saya fikir tidak ada banyak pilihan kerana jelas mereka seperti Khairy Jamaluddin, Noh Omar, Ismail Sabri dan Hishammuddin Hussein semua ini mahu mengambil alih sebagai Presiden UMNO," kongsi Dr Chin.
Lantaran itu, beliau berpendapat langkah pemecatan dan penggantungan keanggotaan ahli UMNO itu juga wajar demi menjamin UMNO kekal dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan PM Anwar.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan