Pelantikan Menteri Komunikasi Indonesia sebagai pemangku Menteri Luar adalah amalan biasa: Kementerian Luar
Pelantikan Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Budi Arie Setiadi sebagai pemangku Menteri Luar semasa ketiadaan Retno Marsudi merupakan amalan biasa dalam pentadbiran, menurut Kementerian Luar di Jakarta.
(Gambar: Kominfo)
Menurut Kementerian Luar Indonesia, ini sering berlaku apabila seorang menteri menjalankan tugas rasmi di luar negara, malah Retno sebelum ini pernah dilantik sebagai pemangku Menteri Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan.
"Menteri, Retno, kini berada di New York untuk menghadiri debat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Gaza dan mengadakan beberapa pertemuan dengan beberapa rakan sejawatannya," kata jurucakap kementerian itu, Lalu Muhammad Iqbal, dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Timbalan Menteri Luar Pahala Mansury berada di Kampala, Uganda, mewakili Indonesia untuk mesyuarat Pergerakan Negara-Negara Berkecuali.
Sementara itu, Penyelaras Staf Presiden Ari Dwipayana berkata kuasa membuat keputusan pemangkuan menteri biasanya diputuskan di peringkat menteri.
Pada 19 Jan, Presiden Joko Widodo melantik Budi sebagai pemangku menteri luar semasa Retno melakukan perjalanan rasmi dua hari yang berakhir semalam (22 Jan).
Pelantikan Budi mencetuskan perbincangan umum berikutan spekulasi beberapa menteri Kabinet Indonesia bercadang untuk meletakkan jawatan, termasuk Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati.
Bagaimanapun, Presiden Jokowi pada Sabtu menafikannya sambil menegaskan bahawa Kabinetnya menjalankan tugas seperti biasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.