Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelancongan dunia melonjak pada Julai, namun belum capai tahap sebelum COVID-19

Sektor pelancongan global melonjak pada Julai dipacu oleh program vaksinasi dan kurang sekatan perjalanan, namun jumlah pelancong masih juah lebih rendah berbanding dengan tahap sebelum pandemik, menurut badan pelancongan PBB pada Isnin (4 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Pelancongan dunia melonjak pada Julai, namun belum capai tahap sebelum COVID-19

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 04 Oct 2021 11:16PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 11:18PM

MADRID: Sektor pelancongan global melonjak pada Julai dipacu oleh program vaksinasi dan kurang sekatan perjalanan, namun jumlah pelancong masih juah lebih rendah berbanding dengan tahap sebelum pandemik, menurut badan pelancongan PBB pada Isnin (4 Okt).

Seramai 54 juta pelancong merentasi sempadan antarabangsa pada Julai, iaitu jumlah tertinggi sejak April 2020, pada peringkat awal krisis koronavirus, menurut Pertubuhan Pelancongan Sedunia dalam satu kenyataan.

Ini mewakili kenaikan 58 peratus berbanding kadar yang dicatatkan pada Julai 2020, namun jumlah itu merupakan kemerosotan sebanyak 67 peratus berbanding 164 juta yang dicatatkan pada Julai 2019.

"Perkembangan ini dipacu oleh pembukaan semula banyak destinasi kepada pelancongan antarabangsa, kebanyakannya di Eropah dan negara-negara di benua Amerika... di samping dengan kemajuan dalam program vaksinasi COVID-19" yang menyumbang kepada "pemulihan semula pergerakan selamat secara beransur-ansur di Eropah dan negara-negara lain di seluruh dunia", menurut badan PBB itu.

"Meskipun begitu, 2021 kekal sebagai tahun mencabar bagi pelancongan global, dengan jumlah ketibaan antarabangsa merosot 80 peratus dari Januari sehingga Julai berbanding dengan 2019," menurut pertubuhan berpangkalan di Madrid itu.

Pada tujuh bulan pertama tahun ini, rantau Asia dan Pasifik terus mencatatkan kemerosotan tinggi sebanyak 95 peratus dalam jumlah kedatangan pelawat antarabangsa, disusuli dengan Timur Tengah di mana jumlah itu merosot sebanyak 82 peratus. Eropah dan Afrika mencatat kemerosotan 77 peratus manakala benua Amerika mengekalkan penurunan sebanyak 68 peratus.

Hanya beberapa pulau kecil di Caribbean, Afrika, Asia dan rantau Pasifik di samping beberapa destinasi Eropah pulih semula dan mencatatkan jumlah ketibaan hampir sama atau lebih tinggi berbanding tahap sebelum pandemik.

Sepanyol, yang sebelum berlakunya pandemik merupakan destinasi pelancongan kedua paling popular di dunia, pada Isnin menyatakan bahawa ia menyambut ketibaan 15 juta pelancong sepanjang lapan bulan pertama tahun ini. Jumlah itu merupakan kemerosotan 4.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut Institut Statistik Kebangsaan.

Badan PBB itu menjangkakan sektor pelancongan "bangkit semula" pada 2022 meskipun pelancongan global tidak dijangka mencapai tahap sebelum pandemik sehingga 2023 atau 2024.

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan