Pelancong warga Perancis ditembak mati polis Thai
Seorang pegawai polis Thailand ditahan berhubung pembunuhan seorang lelaki rakyat Perancis menyusuli satu pergaduhan di kawasan Sukhumvit di Bangkok.
Gambar hiasan. (Gambar: Scott Olson/Getty Images/AFP)
BANGKOK: Seorang pegawai polis Thailand ditahan berhubung pembunuhan seorang lelaki rakyat Perancis menyusuli satu pergaduhan di kawasan Sukhumvit di Bangkok.
Mangsa dikenal pasti hanya sebagai Malik, 35 tahun. Dia mengalami luka tembakan di kepala.
Menurut agensi berita China Xinhua, insiden pergaduhan itu berlaku di sebuah rumah kedai di kawasan Sukhumvit 13 dalam daerah Watthana pada malam Selasa (11 Dis).
Pesuruhjaya Biro Imigresen Surachate Hakparn pada Rabu berkata anggota polis itu dikenal pasti sebagai Pegawai Waran Polis Kantapong Huadsri yang bertugas di balai polis Lumpini.
Menurut pesuruhjaya itu, kedua-duanya bertumbuk antara satu sama lain di sebuah bar di kawasan kejiranan tersebut sejurus sebelum suspek mengikut mangsa dan menembaknya di kepala di depan teman wanita mangsa.
Anggota polis itu kemudian menyerah diri di balai polis Lumpini.
Polis Thailand berkata siasatan lanjut sedang dijalankan kerana satu laporan mendakwa bahawa terdapat seorang lagi lelaki yang menemani suspek ke rumah kedai itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.