Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelancong tidak lagi dikehendaki jalani kuarantin apabila tiba di China mulai 8 Jan

Anggaran Waktu Membaca:

BEIJING: China memansuhkan langkah kuarantin bagi pelawat yang tiba dari luar negara mulai 8 Januari, umum penguasa kesihatan pada Isnin (26 Dis), setelah melaksanakan sekatan sempadan pandemik yang ketat selama hampir tiga tahun. 

Suruhanjaya Kesihatan Nasional (NHC) mengumumkan langkah-langkah baru COVID-19 dalam makluman online, sambil menambah bahawa pelancong hanya dikehendaki menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) 48 jam sebelum menaiki pesawat untuk memasuki China. 

Pengumuman tersebut merupakan langkah terkini oleh Beijing untuk melonggarkan rejim sifar-COVIDnya, setelah ia tiba-tiba menarik balik syarat wajib ujian dan memansuhkan perintah berkurung awal bulan ini. 

"Menurut undang-undang kuarantin kesihatan nasional, langkah kuarantin bagi penyakit berjangkit tidak akan dikenakan ke atas pelancong dan barangan yang tiba dari luar negara," umum NHC. 

"Pelancong harus menjalani ujian PCR dalam 48 jam sebelum tiba di China," menurut makluman tersebut, sambil menambah bahawa had jumlah penerbangan antarabangsa turut dimansuhkan. 

Langkah-langkah berkenaan akan berkuat kuasa mulai 8 Januari, apabila COVID-19 akan diturunkan dari tahap tertinggi penyakit berjangkit, Kelas A, kepada tahap kedua, Kelas B, menurut NHC dalam satu makluman berasingan pada Isnin. 

Tidak seperti kebanyakan negara lain di mana orang ramai sudah beralih untuk hidup dengan pandemik, China mengekalkan sekatan tegas dan menutup sempadannya sehingga baru-baru ini. 

Sejak Mac 2020, semua pelancong yang tiba di negara tersebut dikehendaki menjalani sekurang-kurangnya dua minggu kuarantin, yang kemudian dilanjutkan kepada tiga minggu. 

Langkah-langkah tersebut menjejas teruk pelancongan antarabangsa dan perniagaan, sekali gus mengganggu ekonomi yang terjejas teruk oleh COVID-19. 

Keadaan hotel kuarantin yang tidak sama rata, sekatan visa yang tegas dan harga penerbangan yang mahal disebabkan pengurangan ketara perjalanan antarabangsa turut menyebabkan ramai ekspat meninggalkan China pada beberapa tahun kebelakangan ini. 

Namun, awal tahun ini, China melonggarkan sedikit sekatan visanya, membenarkan anggota keluarga warga China untuk memohon untuk visa penyatuan keluarga. 

Semakin ramai pemimpin dunia turut mengunjungi China sejak Olimpik Musim Sejuk Beijing pada Februari. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan