Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pelancong S'pura dilarang masuk ke Itali mungkin 'kesilapan pentadbiran', kata duta

Anggaran Waktu Membaca:
Pelancong S'pura dilarang masuk ke Itali mungkin 'kesilapan pentadbiran', kata duta

Suasana di pasar Krismas di Milan pada 8 Disember 2021. (Gambar: Miguel Medina/AFP)

SINGAPURA: Duta Itali di Singapura berkata hari ini (16 Dis) bahawa larangan yang dikuat kuasakan negaranya terhadap pelancong dari Singapura mungkin adalah satu "kesilapan".

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Encik Mario Andrea Vattani berkata: "Kami sedang meminta Kementerian Kesihatan Itali untuk menyemak semula keputusan untuk melarang pelancong Singapura ke Itali untuk bercuti. Saya juga percaya ia satu kesilapan untuk mengeluarkan nama Singapura daripada senarai EU yang diterbitkan pada 9 November."

Pada 9 November, Singapura dikeluarkan daripada senarai Kesatuan Eropah (EU) yang mana sekatan perjalanan dilonggarkan.

Senarai EU yang dikemaskini setiap dua minggu, mengatakan "keadaan epidemilogi dan tindak balas terhadap COVID-1 secara keseluruhannya"diambil kira sebelum disenaraikan.

Encik Vattani memberitahu Mediacorp beliau percaya senarai tersebut tidak mencerminkan keadaan Singapura pada masa sekarang.

"Di Singapura, jumlah kes COVID-19 kini lebih rendah, dan hampir 100 peratus penduduk sudah lengkap divaksin. Varian Omicron pula hampir tiada," kata duta tersebut.

SINGAPURA DALAM SENARAI NEGARA RISIKO TINGGI: KEMENTERIAN KESIHATAN ITALI

Pada Rabu (15 Dis), kedutaan Itali di Singapura memuat naik kemas kini di laman mereka, bahawa kementerian kesihatannya menyenaraikan Singapura dan Brunei sebagai negara di dalam "Senarai E".

Negara-negara dalam senarai ini dianggap sebagai mempunyai risiko jangkitan COVID-19 yang tinggi.

Ini bermakna penduduk Singapura tidak boleh memasuki Itali atas sebab bercuti mulai hari ini. Larangan itu berakhir pada 31 Januari 2022.

Pengecualian diberikan jika pelawat berkenaan adalah rakyat salah satu negara EU ataupun mempunyai pasangan yang menetap di Itali. Pelawat yang mengambil bahagian dalam pertandingan sukan juga akan dibenarkan memasuki Itali.

Mereka juga dibenarkan memasuki Itali atas urusan kerja, belajar dan masalah kesihatan.

Keputusan itu, menurut Encik Vattani, bukan sahaja menjejas rakyat Singapura, tetapi warga Itali yang pulang dari cuti kerana mereka kini harus menjalani perintah kuarantin.

Pelancong ke Itali harus menunjukkan keputusan negatif ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) yang diambil 24 jam sebelum tiba di Itali. Mereka juga harus mengasingkan diri selama 10 hari di alamat yang disytiharkan sebagai kediaman mereka di Itali.

Mereka juga harus melakukan satu ujian PCR pada akhir tempoh 10 hari pengasingan diri.

Singapura melancarkan Laluan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dengan Itali pada 19 Oktober.

Langkah sepihak itu membenarkan pelancong Itali yang sudah lengkap divaksin untuk memasuki Singapura. Dengan pengumuman terbaru itu, pelancong dari Itali masih boleh terus memasuki Singapura melalui VTL tanpa perlu dikuarantin.

Menjawab pertanyaan media, syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) menyatakan ia akan menghubungi penumpang yang sudah membuat tempahan tiket ke Itali tentang sekatan perjalanan yang baru ini.

Mereka yang menempah langsung dengan syarikat itu boleh meminta bayaran balik, manakala mereka yang di bawah dasar tempahan-semula SIA boleh pilih untuk menempah semula dan tiada bayaran dikenakan.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan